Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mockingjay Part 2: Liciknya penguasa bermain propaganda

Realiti dunia semasa memangnya penuh propaganda. Ia diperlukan demi memenuhi agenda pihak "yang berkuasa". Sama ada disedari atau tidak, suka atau tidak, itulah hakikat yang terpaksa diakui.

Propaganda biasa digunakan oleh pihak pemerintah untuk memenangi dan mempengaruhi hati rakyat dengan ‘cerita’ indah atau fantasi yang sebolehnya untuk menutup hal sebenar.

Penyampaian penceritaan Hunger Games: Mockingjay Part 2 juga tidak lari daripada tema sama yang cuba diberitahu - berhati-hati supaya tidak dijadikan alat.

Sekurang-kurangnya, itu yang dijangkakan diperoleh selepas selesai menonton set terakhir siri filem Hunger Games yang diadaptasi daripada novel garapan Suzanne Collins.

Mockingjay Part 2 menyaksikan pejuang kebebasan Katniss Everdeen (Jennifer Lawrence) mara ke Capitol bersama pemberontakannya dan memperjuangkan kebebasan sebenar.

Nama Mockingjay diambil daripada sejenis burung yang sifatnya suka mengejek. Dalam Hunger Games , ia membawa maksud penentangan yang bersimbolkan dua jari sebagai lambang penyatuan rakyat Panem ketika hati mereka membara dan bernanah akibat pemerintahan diktator Presiden Snow (Donald Sutherland).

Dan Katniss menjadi simbol Mockingjay dalam Hunger Games . Dengan itu, watak protagonis itu terus menjadi harapan dan suara rakyat yang sudah lama mahukan pembaharuan serta menguburkan rejim pemerintahan Snow.

Ada kuasa magis

Mockingjay Part 2 adalah susulan daripada Hunger Games (2012), Catching Fire (2013) dan Mockingjay Part 1 (2014).

Walaupun filem pertama diarah Gary Ross, tiga filem seterusnya dihasilkan dengan sentuhan Francis Lawrence.

Lawrence sebelum ini adalah pengarah yang bertanggungjawab menghasilkan Constantine (2005) dan I Am Legend (2007).

Dalam Mockingjay bahagian kedua ini, Katniss beranggapan dia tidak perlu lagi menjadi alat propaganda Snow. Justeru, membawa satu matlamat, dia mara ke Capitol.

Dan pertemuannya dengan Presiden District 13, Alma Coin, ia mengubah destinasi dan tanggapan Katniss mengenai makna sebenar kuasa, setiakawan, peperangan dan keamanan.

Dalam filem ini, Katniss dizahirkan sebagai orang yang bukan sembarangan kerana biarpun tanpa memiliki kuasa magis - sebaliknya hanya berbekalkan busur dan panah - dia mampu berdepan dengan peluru, mutan dan dan tentera dalam usahanya menjatuhkan rejim kuku besi Snow.

Di sebalik kehebatan itu, Lawrence mungkin mahu mengingatkan penonton bahawa Katniss tetaplah seorang manusia.

Biarpun penuh dengan keazaman, kecekalan dan ketabahan, namun watak tersebut memiliki kelemahan yang terserlah. Remaja itu tidak memiliki pemikiran kritis.

Dengan kelemahan yang ada pada dirinya, ia gagal menjauhkan Katniss daripada tidak bertindak mengikut emosi, apatah lagi diperalatkan buat kesekian kalinya.

Manipulasi penguasa

Ternyata, walaupun bersikap wira, Katniss masih naif dalam hal pemberontakan, naif tentang siapa musuh sebenarnya, dan masih naif tentang propaganda.

Seperti dinyatakan di awal tadi, Hunger Games menampilkan isu propaganda dan ia banyak diselitkan di sana sini dari awal hingga tamat permainan.

Ini boleh dilihat apabila permainan bermula, Snow mahu ia dirakam secara langsung menerusi televisyen untuk siaran umum.

Sudah tentu permainan itu diadakan secara tidak adil, tetapi itulah liciknya Snow. Dalam ketidakadilan itu penguasa mahu mengolah minda rakyat bahawa penentang kerajaan akan gagal.

Dalam permainan itu hanya ada seorang yang berhak menang - Snow.

Permainan kali ini juga bukan setakat aksi berbunuhan sesama remaja, tetapi disuap dengan kisah percintaan antara Katniss dan Peeta Mellark (Josh Hutcherson).

Tujuannya, agar rakyat lebih menyukai Katniss dan Peeta dan sekaligus menarik lebih banyak peluang penajaan daripada golongan kaya di Capitol untuk ‘pasangan’ itu terus bermain di arena.

Di sebalik itu, liputan menyeluruh sebenarnya untuk menyemai ketakutan dan propaganda .

Dalam hal ini, kehidupan peribadi Katniss dan Peeta dirakam supaya rakyat melupakan pemberontakan.

Ya atau tidak

Itu adalah taktik kotor dalam menyebarkan fahaman dan menanamkan perasaan takut di kalangan penduduk Panem supaya tidak memberontak ke atas pemerintahan Snow.

Hunger Games adalah satu lagi kisah yang menyuap penonton dengan aksi remaja sebagai wira pemberontakan.

Dibandingkan dengan Harry Potter dan Divergent, Hunger Games mungkin tiada banyak perbezaan kerana wira digambarkan mesti memiliki kebolehan istimewa dan sukar dibunuh.

Dalam pada itu, watak ketiga-tiga wira dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing. Hunger Games ada 12 Districts, Harry Potter ada Gryffindor dan Divergent ada Dauntless.

Bagi Hunger Games, plot dan mesej yang mahu disampaikan nampak jelas, dan buat peminat buku itu, filem ini memang mengujakan.

Tetapi adakah corak penceritaan begini mampu membangkitkan semangat kaum lemah daripada ditindas? Mungkin ya. Adakah ia mampu kekal di hati penonton sebagai filem yang luar biasa? Mungkin tidak.

Lihat Komen
ADS