Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aamir Khan hadapi tuduhan Akta Hasutan
Diterbitkan:  Nov 25, 2015 4:21 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Kontroversi Aamir Khan yang memberi komen mengenai situasi negaranya belum menampakkan tanda berakhir.

Terkini, sebuah mahkamah di Kanpur di Uttar Pradesh menerima dokumen untuk mendakwa pelakon terkenal itu mengikut akta hasutan.

Saman itu dikemukakan seorang peguam tempatan di Kanpur.

Menurut media, peguam berkenaan mendakwa Aamir cuba "memecah-belahkan negara" dengan kenyataanya mengenai keadaan toleransi di India.

Kenyataan itu dibuat Aamir ketika majlis Anugerah Ramnath Goenka untuk wartawan tempatan.

Mahkamah kemudian menetapkan kes itu untuk disebut pada 1 Disember ini.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas satu laporan polis dibuat terhadap Aamir di ibu negara India.

Terdahulu, Aamir menjadi sasaran kritikan ramai, termasuk di kalangan selebriti Bollywood.

Ketika sesetengah pihak menyambut baik pengakuan Aamir itu, pihak di sisi lain menganggap pelakon filem Mann itu sebagai penghinaan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Aamir juga dituduh tidak bersikap patriotik kepada India, selain memalukan negaranya sendiri.

Seperti kelaziman hari ini, kecaman itu diluahkan melalui saluran paling mudah dan terbuka - media sosial.

Pengarah dan penerbit filem, Ram Gopal Varma berkata, kejayaan dicatat tiga "Khan" beragama Islam di India - merujuk kepada Aamir, Salman dan Shahrukh - adalah bukti bagaimana masyarakat negara itu sangat bertoleransi.

"Sesetengah selebriti mengadu mengenai tiada toleransi dalam negara, tetapi mereka sepatutnya orang terakhir merungut begitu. Mereka menjadi selebriti dalam negara yang dianggap tak bertoleransi.

"Beberapa insiden terpencil tidak boleh dirujuk sebagai hujah tiada toleransi dan tiga bintang besar itu cukup menjadi bukti India mengamalkan toleransi," katanya.

Fikir nak pindah

Pada 23 November lalu Aamir menyatakan kebimbangannya terhadap fahaman pelampau agama di India.

Malah, kata Aamir, isterinya Kiran Rao pernah memikirkan sama ada mereka perlu berpindah ke negara lain akibat isu itu.

"Saya rasa antara enam hingga lapan bulan lalu kekecewaan dan kebimbangan terhadap keselamatan. Kiran takut terhadap masa depan anak kami, persekitaran kami.

"Dia takut membuka akhbar setiap hari," katanya di majlis anjuran akhbar harian Indian Express kelmarin.

Kenyataan itu turut mendapat kritikan daripada Anupam Kher, Raveena Tandon dan Rishi Kapoor.

Peminat dan pengkritik menyasarkan kemarahan kepada penaja Aamir, Snapdeal.

Mereka mengancam untuk memulaukan perkhidmatan syarikat telekomunikasi yang turut menyediakan kemudahan membeli-belah atas talian.

Snapdeal hari ini kemudian mengambil langkah menjarakkan diri daripada kontroversi itu.

"Syarikat ini tidak ada kaitan atau peranan dengan komen dibuat Aamir atas kapasiti peribadinya," kata jurucakap Snapdeal.

If Aamir Khan is not feeling safe in India, he should move to a safer place like Saudi Arabia, Syria or Paris.

— Zaid Hamid (@SirZaidHamid) November 23, 2015

Somewhere in corner of India our Army Jawans must be feeling sad for keeping India safe for this people. :(

— Patakha Chikna (@Madan_Chikna) November 5, 2015

Aamir Khan's wife Kiran Rao is the latest addition to the list of 'Elite-Secular-Tolerant-Liberals-Yet-Victims' -( #SRK #ArundhatiRoy et al)

— Nikhil Sapre (@Nikhil_s147) November 23, 2015

Lihat Komen
ADS