Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas mempertimbangkan beberapa pilihan yang ada, pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle mencapai kata sepakat untuk menamakan anak kedua mereka sempena waktu bayi itu dilahirkan.

Farid mengumumkan nama bayi perempuan mereka adalah Nur Aurora yang membawa maksud "fajar".

“Nama anak dipertimbangkan mengikut masa dia dilahirkan yang hampir waktu subuh. Waktu itu ada nur (cahaya) kerana fajar sedang naik.

“Dan saya menamakannya dengan mengambil elemen alam semula jadi,” katanya di sidang media pelancaran rangkaian promosi filem Langit Cinta di Menara Kuala Lumpur semalam.

Nur Aurora selamat dilahirkan menerusi kaedah bersalin dalam air pada jam 4.05 pagi di Hospital Pantai, Bangsar pada 19 November lalu. Dia seberat 3.29 kilogram.

Pasangan itu berkahwin pada 3 November 2012 dan sudah dikurniakan anak sulung, Muhammad - atau diberi gelaran Che Mad - yang kini berusia dua tahun.

Mengakui kehadiran Nur Aurora satu lagi hikmah buat pasangan itu, namun sebagai lelaki Farid tetap berhati-hati kerana bimbang mengasari bayi itu tanpa disedari.

Masa sesuai telah tiba

Kata Farid, 34, dia masih kekok untuk memegang Nur Aurora kerana khuatir dengan tubuhnya yang masih kecil dan lembut.

Selain itu, Farid mengakui lebih senang mengambil tanggungjawab menguruskan anak sulungnya ketika ini.

“Saya bersyukur dengan kehadiran Nur Aurora.

“Aurora anugerah tidak pernah dimiliki, tidak pernah secantik, sehebat dan sebermakna ini, tetapi sukar untuk menjaganya sendiri.

“Saya berikan perhatian lebih kepada Muhammad ketika ini,” katanya.

Mengulas mengenai tugasnya sebagai pelakon di bawah naungan MIG Pictures Sdn Bhd, Farid menyatakan kini adalah masa paling sesuai untuknya memilih haluan sendiri dan berdikari dengan menyertai syarikat lain.

Farid berada di bawah naungan MIC Pictures selama 17 tahun.

Menurut Farid, syarikat Skygate One milik bersama rakannya yang juga berkecimpung dalam industri hiburan dan dia bakal kembali sebagai pengarah.

“Saya sedang mengumpulkan naskhah terbaik untuk memulakan kerja belakang tabir (sebagai pengarah)," katanya.

Kata pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah itu dia bersemangat untuk berdikari sebagai pengarah pula selepas ini kerana mahu melihat bidang berkenaan dari sisi berbeza.

Sementara itu, mengenai peranannya dalam Langit Cinta , Farid menyatakan ada cabaran perlu dilalui kerana memegang watak sebagai pemuda kampung bernama Budiman.

“Budiman membesar di kalangan nelayan dan menjadi pemuda harapan penduduk setempat.

“Dia cuba memenangi hati Khadeja (Fazura) yang, yang kehilangan suami, Aliff (Keith Foo).

“Saya tidak pernah membawa watak lelaki Melayu yang tipikal,” katanya.

Langit Cinta dibarisi pelakon Nur Fazura, Keith Foo, Siti Saleha, Ogy Datuk Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan, Dian P Ramlee, Normah Damanhuri dan ramai lagi.

Lihat Komen
ADS