Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Iwan impi susuk Mujica di Indonesia
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 9:46 AM
Dikemaskini: 1:56 AM

Kesederhanaan menjadi pilihan dan keutamaan buat Iwan Fals dalam menghadapi kemelut kehidupan.

Dan pendekatan itu juga diharapkannya daripada ahli politik dan pemimpin Indonesia.

Secara terbuka Iwan menyanjung tinggi keperibadian Presiden Uruguay ke-40 Jose Mujica ( gambar ) sambil menggesa lelaki itu diangkat menjadi contoh kepada pemimpin mahupun ahli politik Indonesia.

Kata penyanyi Galang Rambu Anarki itu, dia tertarik dengan sifat pemurah yang dipamerkan Mujica ketika dia memiliki darjat dan kuasa sebagai presiden.

“Saya kagum dengan Mujica kerana bermurah hati hingga memberikan 90 peratus daripada gajinya kepada rakyat.

“Bukan itu saja, beliau sanggup pula hidup bersederhana di kawasan pertanian,” katanya seperti dilaporkan media.

Mujica atau lebih mesra disapa El Pepe terkenal sebagai bekas pejuang gerila Tupamaros dan pernah dipenjarakan selama 13 tahun kerana melawan kerajaan diktator pada 1970-an hingga 1980-an.

Rumah kecil, kereta usang

Beliau digambarkan sebagai presiden termiskin di dunia kerana menjalani gaya hidup sederhana, malah sebahagian besar daripaa gaji bulanannya sebanyak AS$12,000 (RM50,693) didermakan kepada pertubuhan amal bagi membantu penduduk miskin dan usahawan kecil.

Penggal pemerintahan Mujica tamat pada 1 Mac lalu.

Tanpa sikap tamakkan harta dan kuasa, Mujica hanya menjadikan rumah kecil dan usang sebagai kediamannya, manakala kenderaan dimiliki hanyalah sebuah kereta usang.

Sepanjang tempoj menjadi presiden, Mujica berjaya menjauhkan dirinya daripada kemewahan, walaupun dia mudah memperolehinya jika mahu.

Bagi Iwan sendiri, dia cukup sedar bahawa semuanya sekadar lamunan untuk menemui pemimpin atau ahli politik seperti Mujica.

Paling tidak, ia disebabkan keadaan di Indonesia dan Uruguay yang jauh berbeza.

Indonesia terkenal dengan wilayah yang terpisah oleh laut - dengan lebih 1,400 pulau - berbanding Uruguay.

Indonesia juga menjadi tempat tinggal hampir 250 juta rakyat berbanding hanya 3.41 juta (mengikut bancian 2013) di Uruguay.

“Uruguay tidak serumit Indonesia," katanya.

Namun, bagi Iwan, memadai jika pemimpin atau ahli politik Indonesia dapat mencontohi kesederhanaan Mujica.

“Mereka (ahli politik) mampu hidup dalam kesederhanaan.

"Nilailah kepuasan diri daripada banyaknya manfaat dapat diberi kepada rakyat, bukan berdasarkan harta dan kekayaan dimiliki secara peribadi," katanya.

Lihat Komen
ADS