Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
PENA bidas menteri, parti politik 'tak boleh diharap'
Diterbitkan:  Dec 1, 2015 6:28 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Persatuan Penulis Nasional (PENA) menyifatkan tiada parti politik boleh diharapkan untuk mempertahankan bahasa Melayu dan menolak cadangan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) dalam pengajaran mata pelajaran terpilih di sekolah.

Malah presidennya, Dr Saleeh Rahamad, menyalahkan parti pembangkang seperti PKR yang didakwanya hanya mahu menjaga hati DAP.

"Nampaknya tiada menteri BN yang boleh diharap lagi sekarang. Parti pembangkang lagi tak boleh diharap.

"Jangan harap DAP akan menjaga bahasa Melayu, PAS pun entahlah. PKR samalah dengan DAP atau menjaga hati DAP," kata Saleeh ( gambar ) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2016 mengumumkan dua lagi inisiatif, iaitu DLP dan Highly Immersive Programme (HIP) akan dilaksanakan secara pilihan di sekolah.

Sebanyak 300 buah sekolah dikenal pasti sebagai projek perintis program berkenaan dengan peruntukan kos RM38.5 juta.

Jangan kelirukan ibu bapa

Saleeh menegaskan, PENA menentang DLP bukan kerana sentimen antibahasa Inggeris, sebaliknya kerana menganggap ia tidak rasional jika tujuannya untuk meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan.

"Malah, nanti pencapaian pelajar dalam subjek kritikal itu akan merudum seperti yang berlaku dalam PPMSI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris).

"(Apa) yang lebih penting (ialah) DLP bertentangan dengan Akta Pendidikan dalam Perlembagaan. Ini bukan lagi program tetapi menyentuh dasar," jelas beliau.

Saleeh turut membidas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya tidak menyelewengkan perkara dan fakta.

"Ajarkanlah bahasa Inggeris dengan banyak dan giat dengan kaedah yang betul, bukan dengan subjek sains, matematik, dan dua subjek lagi itu.

"Jangan mengelirukan ibu bapa. Orang yang merosakkan sistem pendidikan dan menjahanamkan bumiputera akan dikencing kuburnya nanti oleh anak cucu.

"Maka mari kita rapatkan saf dan berjuanglah untuk bangsa," tegasnya yang juga ahli akademik dalam bidang pengajian media di sebuah universiti awam.

Lihat Komen
ADS