Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertemuan di bawah pokok berdepan sebuah restoran di Bangsar itu berlangsung secara santai. Perbualan diselang-selikan dengan hirupan teh tarik, mi goreng dan rokok.

Ito Mohd adalah Ito Mohd. Walaupun semakin berusia, aura 'semangat panas' penyanyi Blues Gang itu tetap ada.

Dan perbualan utamanya pada malam itu tetap isu sama - nasib artis, terutama berdepan ancaman cetak rompak.

"Saya 'hilang' banyak kerana cetak rompak ni. Antara 1980 hingga 2000.

"Ketika itu kerajaan tak berbuat banyak untuk membantu artis tempatan walaupun sebenarnya jika kami dapat wang, kami juga bayar cukai kepada kerajaan," katanya.

Secara ringkas itu antara sebab Ito menjadi lantang dan pada suatu ketika dia adalah wajah yang lazim di majlis ceramah atau program kesenian pembangkang.

Tanpa banyak diketahui sesiapa, sebenarnya Ito bukan penyokong pembangkang. Atau sekurang-kurangnya bukan penyokong tegar mana-mana parti.

Bagi penyanyi Apo Nak Di Kato itu, dia akan cenderung kepada mana-mana pihak yang dianggapnya mampu membela nasib artis.

Justeru walaupun disenaraihitamkan dan digam daripada stesen televisyen dan radio, Ito tetap teguh.

"Saya tak sokong pembangkang. Saya tak jadi ahli mana-mana parti pun, sama ada pembangkang atau bukan. Saya cuba bercakap tentang sesuatu yang perlu untuk artis.

"Ketika itu saya nampak ada pihak yang bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan nasib rakyat dan artis, maka saya bersama mereka," katanya.

GST itu betul

Memang pada zaman negara berdepan gelombang reformasi dan dekad seterusnya Ito selalu hadir menjadi penghibur majlis parti politik pembangkang.

Bukan dia seorang saja, malah ramai artis lain mengambil sikap begitu. Sebahagian daripada mereka masih kekal dengan parti politik tertentu, manakala Ito kini memilih untuk lebih bebas.

"Dua tahun lepas saya tengok kerajaan ada keluarkan iklan melarang cetak rompak. Nampak ada kesungguhan.

"Ini yang saya tunggu selama ini, sebab Mahathir dulu, jangan harap!" katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ito yang bakal muncul dengan single baru juga ada pendapat sendiri tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bagi Ito, GST adalah langkah yang betul untuk menjaga hak dan kepentingan karyawan seni, selain mengekang aktiviti penjualan produk cetak rompak.

Katanya, penjagaan hak cipta dan harta intelek sangat penting kepada seniman kerana mereka memperoleh pendapatan daripadanya.

"Ramai orang tak nampak dengan jelas apa ada dalam industri muzik. Mereka ingat muzik hanya dunia untuk bersuka-sukaan saja, tetapi sebenarnya ada unsur kecerdikan di situ," katanya.

Ditanya sama ada isu cetak rompak masih mengancam industri hiburan, Ito segera menegaskan - ia tetap ada dan berkembang. Dan ia juga, katanya, merugikan kantung negara.

'Kami bagi duit kepada kerajaan'

Menurut beliau, definisi harta intelek juga sudah berubah sesuai dengan perkembangan zaman.

"Kerajaan perlu sedar apabila sesebuah lagu itu meletup dan digemari ramai, kami mendapat keuntungan tetapi pada masa sama kami juga membayar cukai.

"Situasinya ialah, bukan kerajaan bagi kami duit, tetapi kami yang bagi duit kepada kerajaan.

"Kalau benar-benar meletup, berapa juta cukai dikutip kerajaan?" katanya.

Asasnya, bagi Ito, adalah mudah. Industri seni dan hiburan perlu dilihat serta ditangani dengan 'rasa sayang'.

Jika rasa itu tidak ada, katanya, maka berkembang biaklah aktiviti cetak rompak seperti yang pernah dialami seniman pada era 1980-an dulu.

"Orang yang buat cetak rompak lagu, album ni, dia tak dengar muzik pun. Dia tak ada rasa sayang, maka dia cetak rompaklah. Semudah itu.

"Saya cakap begini sebab produk saya jadi mangsa cetak rompak yang serius. Memang bisnes cetak rompak itu yang membunuh artis," katanya.

[Bersambung - Ito kecewa PRU-13 gagal ubah Malaysia]

Lihat Komen
ADS