Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mengetengahkan genre irama asli kepada khalayak tidak bermakna Haziq Rosebi 'terperangkap' dalam dunia sendiri dan terasing daripada perkembangan semasa.

Kerana itu di sebalik imejnya sebagai penyanyi lagu asli dan tradisional bekas pelajar Akademi Fantasia itu sudah menyiapkan hingga 20 lagu moden setakat ini.

Kata Haziq, 28, karya yang dihasilkannya itu sekadar untuk mengisi ruang kosong yang ada dan "tidak lebih daripada itu".

“Saya hasilkan lagu moden tetapi bukan seperti genre yang selalu saya nyanyikan.

“Prose situ dilakukan di studio kediaman saya.

“Namun, saya anggap itu sekadar menjadi hobi dan hanya untuk suka-suka,” katanya yang ditemui selepas persembahan Gemilang Tanah Permata yang diadakan di Istana Budaya (IB) malam tadi.

Gemilang Tanah Permata berlangsung hingga 7 Februari mengangkat persembahan ghazal dan tarian zapin budaya warisan Johor.

Lagu yang dipersembahkan untuk Gemilang Tanah Permata diadun oleh komposer seperti Jaafar Abdul Rahman @ Idris (Jari), Omar Taib, Datuk Suhaimi Mohd Zin (Pak Ngah) dan Sahfie Obe Hairune.

Hamil enam minggu

Selain Haziq, penyanyi seperti Ayai Illusi, Syura, Zarina Zainoordin dijemput sebagai artis undangan, manakala pelakon Sofi Jikan, Mohd Ashraff Muslim, Mohd Razif Adnan dan Othman Ahmad menambah seri suasana.

Acara turut dijayakan artis budaya Warisan Johor dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor.

Haziq berkata dia tidak menolak sekirannya diberi peluang untuk melangkah lebih jauh dengan karya yang lama tersimpan itu.

Sebelum mengembangkan sayapnya dalam industri hiburan, katanya, dia masih perlu menanti saat yang dirasakan benar-benar sesuai.

“Saya akui belum berani mencuba.

“Ada rakan yang menggalakkan saya merakam lagu, tetapi saya belum boleh pergi sejauh itu lagi,” ujarnya.

Sebenarnya meskipun memperjuangkan irama tradisional, penyanyi yang sinonim dengan alunan lagu allahyarham Datuk Ahmad Jais itu tetap tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan semasa.

Contohnya siapa artis yang berada di kedudukan nombor satu carta muzik semasa.

Mengenai perkembangan rumahtangga, Haziq yang berkahwin sejak September tahun lalu memberitahu, dia tidak sabar untuk menimang cahaya mata sulung.

"Dalam keriangan ada debaran," kata Haziq.

Menjawab aspek persediaannya sebagai bapa, jelasnya, terlalu banyak perkara perlu dipertimbangkan apabila usia bayi masih di peringkat awal.

“Isteri sedang hamil enam minggu.

“Saya banyak mendapatkan maklumat dan pantang larang mengenai ibu mengandung di Internet.

“Risau juga dibuatnya kerana dalam peringkat sebegini, banyak kandungan yang tidak lekat," katanya.

Dalam pada itu, Haziq juga mengidam untuk memiliki bayi kembar.

“Rasanya ada sejarah keluarga yang mempunyai anak kembar.

“Kalau boleh saya nak kembar seorang lelaki dan perempuan, baru syok,” katanya.

Lihat Komen
ADS