Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Ganti Mukhriz kurang tepat, rakyat kena tempias'

Peluang mungkin wajar diberikan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk memperbaiki diri sebelum beliau digantikan, kata penyanyi Ayai Ilusi.

“Kurang tepat begitu (menggantikannya dengan tokoh lain).

“Kami doakan perkara ini (dapat) dikaji selidik dengan teliti, bukan menjatuhkan keputusan dengan drastik disebabkan desakan ahli lain parti.

“Perkara ini (kemelut di Kedah) dapat dipulihkan sekiranya ahli mengadakan perbincangan yang telus,” katanya kepada Malaysiakini .

Perkataan “kami” digunakan Ayai mungkin lebih merujuk kepada rakyat terbanyak.

Kemelut yang melanda kepimpinan Umno Kedah selama dua minggu baru-baru ini akhirnya diredakan selepas Mukhriz meletakkan jawatannya sebagai menteri besar pada 3 Februari lalu.

Keputusan untuk berundur diambil selepas Mukhriz yang dimaklumkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, didapati hilang keyakinan majoriti ADUN di negeri berkenaan.

Sebanyak 21 ADUN BN dan 15 ADUN pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah menyuarakan pandangan mereka kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebelum itu.

Rakyat berhak nilai

Tempat Mukhriz sebagai menteri besar digantikan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Bagaimanapun, dalam hal itu ada juga yang berpendapat Mukhriz diberikan tekanan demi tekanan kerana tidak memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB.

Ayai memang seorang penyanyi dan pada 2014 dia adalah juara program Gegar Vaganza, namun ia tidak bermakna penyanyi kelahiran Johor itu tidak mengambil tahu hal-hal sekitar politik.

Justeru Malaysiakini mendapatkan pandangannya mengenai kemelut yang melanda Kedah ketika ditemui di Istana Budaya sempena persembahan zapin dan ghazal Gemilang Tanah Permata baru-baru ini.

Walau apa pun yang terjadi, Ayai atau nama sebenar Zahruddin Kamaruddin, 54, berpendapat sebagai rakyat biasa dia turut terkena tempias dengan bahang kemelut itu.

Katanya, dia terkesan biarpun kejadian sebenar di sebalik peristiwa yang berlaku tidak tersingkap.

“Perkara yang berlaku tidak terjadi di depan mata kita sendiri.

“Bila Mukhriz digugurkan, dia sendiri tidak banyak cerita, sebaliknya dia hanya akur.

“Kita pun sedih dengan hal begini,” katanya.

Sehubungan itu, penyanyi Puisi Cinta itu menyarankan seandainya seseorang pemimpin dianggap tidak berkelayakan dalam melaksanakan tugasnya, kredibilitinya boleh diukur pada pilihan raya umum ke-14.

“Biar peluang itu diberi kepada Mukhriz untuk menjalankan tanggunjawabnya hingga pilihan raya akan datang.

“Sekiranya betul pemimpin itu buat salah, rakyat juga tidak akan sokong. Rakyat berhak memilih dan menilai,” katanya.

Pada masa sama Ayai menegaskan perlunya Melayu agar tidak berpecah atau berlaga sesama sendiri demi kelangsungan bangsa.

Katanya, sebarang isu Melayu hendaklah ditangani dengan etika profesional yang tinggi dan penuh adab, kerana "di situlah martabat bangsa Melayu".

“Bersatulah Melayu, itu menunjukkan siapa bangsa kita.

“Kadang-kala timbul silap, kita boleh maki hamun orang itu padahal ia boleh ditegur dengan nada lembut dan bermaafan.

“Kalau dalam parti bertelegah, apa kata parti lain, benda seperti itu tidak baik diuar-uarkan.

“Rilekslah,” katanya.

Lihat Komen
ADS