Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kehidupan solo membuatkan penyanyi Syura mengakui sesekali dia terasa kesunyian ketika menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal.

Selepas ditakdirkan berpisah dengan suaminya, Syura mengakui terpaksa lebih gigih menghadapi dugaan hidup sendirian dan mengakui ada kalanya dia ‘tewas’ dengan perasan.

Katanya, kini dia sudah kehilangan teman bergurau dan berkongsi masalah.

“Pengalaman hidup sebumbung dengan orang dikasihi tidak mudah untuk dipadam begitu saja, apatah lagi apabila orang itu pernah kita sayangi.

“Tidak mudah jika dibandingkan dulu dan sekarang.

"Dulu saya ada tempat meluahkan perasaan dan mengadu perihal hidup yang dilalui saban hari,” katanya yang ditemui selepas persembahan Gemilang Tanah Permata di Istana Budaya baru-baru ini.

Pun begitu, penyanyi Nazam Berkasih yang memiliki nama sebenar Zubaidah Badron itu berkata dia masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas suaminya.

“Hubungan itu masih dipelihara kerana dia bapa kepada anak saya, tetapi biarlah hanya sebagai kawan.

“Saya tidak mahu masalah kami sebagai ibu bapa memberi kesan pada anak.

“Kami mahu mengekalkan hubungan walaupun perkara itu sukar.

"Pada masa sama dia boleh melawat anak kami pada bila-bila masa, tiada halangan,” katanya.

Bakal tamat pengajian

Syura mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fadhly Md Yassin pada Mac 2006 namun bercerai pada hujung September 2014.

Syura, 30, dan Mohd Fadhly kemudian rujuk semula pada 10 November tahun sama.

Dan Ogos tahun lalu, Syura bercerai untuk kali kedua dengan Mohd Fadhly yang juga sepupunya.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nurul Dania Irdani, 9, Nurul Qaisara Sofea, 7, dan Muhammad Irfan Aryan, 5.

Percubaan Syura untuk meneruskan kelangsungan hidup adalah menerusi bidang masakan dan nyanyian yang berada dekat dengan hatinya.

Syura pernah menjuarai program MasterChef Selebriti Musim Kedua tahun lalu.

Dan pada tahun ini, anak kelahiran Johor itu juga bakal menamatkan pengajiannya dalam bidang kulinari di Universiti Antarabangsa Unitar.

Syura juga menjelaskan, masalah kewangan tidak dapat dielak daripada membebankan kehidupan seorang ibu tunggal sepertinya.

“Memiliki dan membesarkan tiga anak adalah cabaran hebat buat saya ketika ini.

“Ditambah pula dengan keperluan saya membahagikan masa dan kewangan untuk menguruskan pembelajaran sendiri, hal peribadi dan anak-anak," katanya.

Di sebalik kesibukan itu, Syura tetap tabah dan menganggap anak-anaknya sebagai sumber kekuatan dirinya.

Menganggap kemahiran dalam bidang nyanyian dan memasak sebagai kelebihan, Syura mengambil sikap menerima seadanya dengan tawaran yang mendatang.

Soal bayaran, kata Syura, tidak menjadi masalah besar.

“Selepas menjuarai pertandingan MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua, banyak juga tawaran menyanyi yang saya dapat.

“Saya tidak meletakkan harga yang tinggi, cukuplah walaupun harga yang diterima adalah ‘dua dalam satu.’

“Tetapi yang kelakarnya, saya pernah diminta menyanyi sambil memakai baju chef,” katanya.

Lihat Komen
ADS