Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

“Sebenarnya, ajakan demi ajakan ayah pernah saya tolak tetapi akhirnya saya sedar keistimewaan drama kepolisan.

"Kalaulah saya tahu lebih awal, tentu sudah lama saya tunaikan permintaan ayah," kata pelakon dan pengarah Syamsul Yusuf.

Dia bersemangat bercerita mengenai siri televisyen Gerak Khas terbaru yang dihasilkannya.

Sebelum ini kata Syamsul dia lebih banyak menumpukan filem dan drama lain sebelum tersedar mengenai keistimewaan drama kepolisan.

Selepas pujukan bapanya - Datuk Yusof Haslam yang terkenal sebagai penerbit dan pengarah - dalam diam Syamsul mula memasang niat untuk menghasilkan filem bertema detektif dan ‘hero’ yang menjaga keselamatan serta keamanan orang awam.

Pun begitu, Syamsul, 32, mengakui mungkin dia sedikit terlewat menyedari kelebihan yang tersirat dalam dunia polis yang boleh diangkat menjadi kisah teladan kepada masyarakat.

“Sekiranya ayah tidak menawarkan peluang mengarah, saya tetap mahu meneruskan impian untuk genre seperti ini," katanya.

Syamsul ditemui selepas sidang media pelancaran drama bersiri Gerak Khas 2016 terbitan Skop Production yang bakal bersiaran di saluran TV2 pada 4 Mac nanti.

Rasa tercabar untuk beri terbaik

Selain Yusof turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dan barisan pelakon Gerak Khas 2016 seperti Raja Ilya, Fattah Amin, Salina Saibi, Mas Khan, Tisha Shamsir dan Deen Maidin.

Sesuai dengan musim dan pelakon baru, Gerak Khas 2016 turut menjanjikan kelainan dengan menampilkan enam pengarah berbeza.

Selain Yusof dan Syamsul, Gerak Khas 2016 turut mendapat sentuhan Aziz M Osman, Faizal Yusof, C Kumaresan dan Majed Salleh.

Syamsul juga berkata dia berasa bertanggungjawab meneruskan legasi bapanya yang sinonim dengan kisah kepolisan seperti Gerak Khas, Remang-remang Kota Raya dan Debu-debu Kota.

Kata Syamsul, walaupun hanya berlakon dalam Gerak Khas 2016 dia dapat merasakan keunikan dan 'kelebihan' dalam dunia polis.

Tanpa banyak disedari drama bersiri Gerak Khas rupa-rupanya sudah mencecah usia 15 tahun.

Menyedari tanggungjawab yang ada Syamsul berkata dia berasa tercabar untuk memberi persembahan terbaik ketika menggarap Gerak Khas 2016 .

“Drama ini dapat bertahan lama kerana kreativiti yang dipamerkan menerusi jalan cerita.

“Walaupun pernah menulis skrip, saya akui memang sukar untuk menghasilkan skrip bagi drama bersiri kepolisan," katanya.

Lihat Komen
ADS