Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kalau sudah rezeki, terlepas bertahun-tahun pun ia akan datang juga. Dan kadang-kadang dalam bentuk tidak terjangka.

Terlepas jadi polis kerana memilih menjadi pramugari, kini watak dalam drama bersiri Gerak Khas 2016 menjadi peluang kedua buat pelakon Raja Ilya menggapai cita-citanya suatu ketika dulu.

Membesar dalam kalangan ahli keluarga yang kebanyakannya memilih kerjaya bersama pasukan beruniform, empunya nama Raja Ramilah Begum Raja Mohamad, 30, akhirnya 'puas' kerana selain menjadi apa yang diidamkan, pada masa sama memenuhi impian bapanya.

Menceritakan zaman silamnya wanita berdarah kacukan Melayu, Malayalam, Arab dan Pakistan itu serasi dengan gaya ala tomboy.

Dan kalau diikutkan kehendak bapanya, Raja Ilya berpendapat, mungkin hingga kini dia akan kekal dengan gaya itu hingga sekarang.

“Sememangnya bapa mahu saya mempunyai karier seperti anggota keluarga yang lain.

“Dia mahu saya menyertai badan beruniform seperti polis.

“Hal itu membuatkan dia sanggup mengaturkan sesi temuduga selepas saya tamat pengajian peringkat diploma pada 2004," katanya ketika ditemui selepas sidang media pelancaran musim baru Gerak Khas 2016 di Hulu Klang kelmarin.

Drama terbitan Skop Production itu dijadual bersiaran mulai 4 Mac ini di saluran TV2 setiap Jumaat jam 9 malam.

Musim ini, enam pengarah berganding untuk menjayakan Gerak Khas 2016 iaitu Datuk Yusof Haslam, Syamsul Yusof, Aziz M Osman, Faizal Yusof, C Kumaresan dan Majed Salleh.

Antara barisan pelakon membintangi siri drama kepolisan itu ialah Fattah Amin, Salina Saibi, Mas Khan, Tisha Shamsir dan Deen Maidin.

Ada detik sentimental

Kata Raja Ilya anggota keluarganya terdiri daripada anggota polis - termasuk polis trafik - dan askar.

Jelas anak bongsu daripada empat beradik itu, sebelum ini bapanya sudah lama merancang perjalanan kariernya.

Namun, di sebalik keterujaan si bapa itu, Raja Ilya berkata, ibunya pula berbeza pendapat.

“Mak tidak bersetuju sebab tidak mahu Ilya terus-menerus bersifat kasar dan tomboy, nanti susah nak berkahwin. Sebaliknya mak mahu saya menjadi pramugari.

"Dua pendapat berbeza membuatkan saya terpaksa membuat perbandingan untuk memilih salah satu daripada pilihan yang ada,” katanya.

Ketika dia dipersiapkan untuk menjadi anggota polis Raja Ilya menghadiri temuduga pramugari syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Kata Raja Ilya, dia berdepan dilema apabila dia ditawarkan pekerjaan sebagai anggota polis dan pramugari.

Dia akhirnya membuat keputusan untuk mengikut kehendak ibu walaupun minatnya terhadap kerjaya sebagai pramugari sama kuat dengan polis.

Kemudian datanglah tawaran berlakon dalam siri Gerak Khas . Raja Ilya memuat naik gambarnya berpakaian seragam polis di Instagram.

Gambar itu kemudian dikongsi adiknya dan disaksikan bapa mereka.

“Sebaik melihat gambar itu, bapa terus menghubungi saya.

“Dalam sebak, dia menyatakan kegembirannya selepas melihat anak bongsunya memakai uniform polis,” ujarnya.

Lebih daripada itu Raja Ilya berkata detik dia mengenakan seragam anggota polis itu agak sentimental.

Jika sebelum ini Raja Ilya sering membawakan peranan antagonis, kali ini penonton berpeluang menyaksikan karakter protagonis menerusi watak Shatila dalam Gerak Khas 2016 .

Namun, kata Raja Ilya, penerimaan watak sedemikian sebolehnya tidak mahu terlalu ‘jauh’ daripada dirinya.

“Biarlah watak protagonis itu bukan jenis yang terlalu lemah lembut dan ayu.

“Dari segi kemampuan, bukan saya tidak boleh bawa tetapi saya tidak mahu merosakkan sesuatu karya hanya kerana wajah saya tidak sesuai untuk watak seperti itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS