Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gadis Bond kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh mengukir sejarah sekali lagi apabila menerima anugerah Officier des Arts et des Lettres daripada kerajaan Perancis.

Menjadi antara bintang terkemuka Asia, Michelle, 53, adalah rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah berkenaan.

Anugerah disampaikan oleh Duta Perancis ke Malaysia Christophe Penot di kedutaan negara itu semalam.

Menurut Christophe, Kementerian Kebudayaan Perancis memilih Michelle kerana pencapaiannya yang menonjol selain menghargai sumbagannya kepada industri perfileman.

“Michelle pernah bekerja dengan beberapa pengarah dan pelakon negara ini selain mempromosikan antara jenama terbaik Perancis.

“Untuk itu, kerajaan Perancis ingin memberikan penghargaan terhadap pencapaiannya sebagai pelakon,” katanya.

Turut hadir di upacara itu, suami Michelle, Datuk Seri Jean Todt dan ibunya Datin Janet Yeoh.

Lima tahun sebelum ini, Michelle pernah menerima anugerah tertinggi awam Perancis, Knight of the Legion of Honour daripada Duta Perancis ke Malaysia ketika itu, Alain du Boispean.

Michelle mengukir namanya di Hollywood kerana wataknya sebagai dalam filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997), aksi hebat kung fu dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon , selain Memoirs of Geisha dan The Lady.

Dilahirkan di Ipoh, sebelum bergelar pelakon, Michelle pernah mempelajari seni tarian dan mempertahankan diri sebelum dinobatkan sebagai ratu cantik (1983).

- Bernama

Lihat Komen
ADS