Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Beberapa tahun lalu, saya mendengar pengarah prolifik Paul Greengrass ( Bloody Sunday dan Bourne Ultimatum ) akan mengarahkan filem dokumentari mengenai 'gergasi' bola sepak Sepanyol, FC Barcelona khususnya di zaman keemasan pada era 2009 hingga 2012.

Namun tiada kedengaran apa-apa sehinggalah baru-baru ini, saya menonton filem dokumentari Barca Dream: A True Story of FC Barcelona (2015), arahan pembikin filem dan bekas wartawan Jordi Llompart.

Skrip dan pengembangan jalan ceritanya yang kreatif dan non-linear itu turut ditulis beliau sendiri.

Filem dokumentari itu antara lain memaparkan sejarah penubuhan kelab Barcelona 115 tahun lalu oleh pencinta sukan Swiss yang berhijrah ke Barcelona, Joan Gamper, serta evolusi dan rahsia ia menjadi kelab bola sepak terkuat di atas muka bumi ini.

Dokumentari berdurasi dua jam itu turut menceritakan mengenai sejarah jatuh bangun skuad berkenaan sejak perang saudara di negeri Catalonia pada 1930-an dan bagaimana mereka bangun semula dari keruntuhan itu dengan menunjukkan sikap benci - yang kemudiannnya merebak dalam politik - terhadap pemerintahan diktator di kota Madrid.

Masyarakat Catalan yang menjunjung idea demokrasi kemudiannya meluahkan rasa benci melalui slogan dan laungan kepada Real Madrid dalam perlawanan el-clasico yang dilihat seperti pertembungan antara Catalonia lawan Sepanyol, sehingga sekarang. Sentimen kebencian tersebut ada diceritakan dalam filem dokumentari itu.

Dalam kenyataannya, Llompart mengakui berdepan tugas berat termasuklah menyusun wawancara dengan beberapa pemain bola sepak kelahiran akademi bola La Masia Barcelona - Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Lionel Messi dan Gerard Pique - kerana kekangan masa dan komitmen kerja.

Ada cabaran memilih

Selain itu, Llompart juga menemubual bekas pengurus dan pemain Barcelona, antaranya Johan Cruyff, Louis Van Gaal, Gary Lineker, Ronald Keoman, Eric Abidal.

Turut ditemui sejarawan Carles Santacana dan wartawan sukan Graham Hunter dan Ramon Besa yang mengikuti rapat perkembangan Barcelona untuk berkongsi pandangan, mengulas, menganalisis dan memberi kritikan dalam filem itu.

Maklumat yang mereka berikan amat membantu menjelaskan falsafah, stail, keghairahan, visi, kebijaksanaan, kebanggaan, semangat berpasukan, pengorbanan, rendah diri dan teknik pasukan itu sehingga menimbulkan kecemburuan pasukan lain di seluruh dunia.

Dalam kenyataannya, Llompart turut mengakui berdepan cabaran memilih dan menyaring pelbagai sumber arkib yang baru serta lama untuk dimasukkan ke dokumentarinya.

Ia membantu penceritaan skuad 'Blaugrana' yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Dokumentari itu bermula dengan footage gerakan dan hantaran pemain Barcelona - termasuk Messi - dengan gerak perlahan dan hanya bunyi sepakan bola sahaja kedengaran sehingga gol dijaringkan, dan penyokong merayakannya.

Gol itu kemudian membawa kepada suara narator menceritakan mengenai sejarah penubuhan dan fasa perkembangan skuad itu termasuk pemain legenda yang dilahirkan. Antaranya Kubala, Johan Cryuff, Hristo Stoichkov, Ronald Koeman, Micheal Landrup, Pep Guardiola, Ronaldinho, selain Xavi - Iniesta - Messi.

Stoichkov - Keoman - Landrup - Guardiola adalah antara pemain dalam pasukan "Dream Team" Cryuff yang merevolusikan skuad Catalan khususnya sewaktu beliau mengendalikan akademi La Masia yang melahirkan pemain berbakat sekaligus mendakap kejuaraan Eropah pada 1992.

Falsafah dibawa Cryuff

Cryuff - yang juga bekas pemain serta pengurus Ajax Amsterdam - menggunakan teknik 'total football' yang diperkenalkan oleh bekas ketua jurulatih Barcelona untuk 1971 - 1975, Rinus Michels.

Menurut wartawan sukan Hunter yang menulis buku Barca: The Making of The Greatest Team in The World, antara falsafah Cyruff yang ditawarkan dalam skuad Dream Team itu ialah "play with intelligence, style, technical skill and vision".

Hunter ( gambar ) berkata Cyruff menerapkan sentuhan satu-dua, konsep membuka ruang, mengekalkan penguasaan bola, cepat menghantar bola dalam bulatan ( rondo technic ), teknik mengecilkan ruang, menghantar bola dengan cepat dan tepat serta melakukan serangan.

Dalam filem itu juga, Xavi - yang berumur 16 tahun di La Masia di bawah sistem latihan Cruyff - berkata: "Dia (Cryuff) mengubah falsafah bermain bola sepak, menjadi protagonis, memburu bola, mengekalkan penguasaan, mendominasi, bermain untuk menyerang, permainan yang menarik dengan kami menguasai permainan."

Teknik itulah yang menjadi falsafah dan gaya mengakar dalam skuad Barcelona dan anda pasti pernah menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Barcelona sekarang. Budaya itu telah mengakar dengan sendirinya melalui La Masia.

"Hasil kerjanya di Camp Nou antara 1988 dan 1996 boleh dibahagikan kepada tiga bahagian asas. Dia memenangi trofi, membentuk semula pembangunan remaja, tetapi paling penting menanamkan keyakinan yang bukan saja kekal menjadi DNA Barcelona tetapi kini turut menjadi sebahagian daripada budaya bola sepak yang meluas di Sepanyol," tulis Hunter dalam bukunya itu.

Turut diselitkan footage bagaimana kemuncak kebangkitan pasukan Barcelona pada kemunculan kedua Johan Cyruff ( gambar ) - sebagai jurulatih - sepanjang lapan tahun itu termasuk merangkul kejuaraan Eropah pada 1992 selepas menewaskan Sampdoria (dari Itali) dengan 1-0.

Dengan falsafah dan gaya itulah anak muda La Masia, Barcelona menjadi pasukan terkuat sewaktu di bawah kendalian Guardiola (2008-2012).

Kisah The Dream Team itu diulas dengan panjang lebar dalam dokumentari berkenaan.

Mourinho dan Barcelona

Filem itu juga memperkenalkan siapa Guardiola, gaya kepimpinan dan sikap mendesak selaku pemain tengah dan kapten Barcelona pada 1990-an.

Diceritakan juga bagaimana Guardiola mengambil keputusan berpindah ke Itali untuk menyertai Brescia sehinggalah dakwaan kes doping melandanya ketika itu.

Filem dokumentari itu juga menceritakan mengenai kemerosotan Barcelona, yang membawa kepada pemecatan Frank Rijkaard dan bagaimana skuad Catalan membuat peremajaan semula dengan melantik Guardiola sebagai jurulatih pasukan utama dan pengguguran Ronaldinho.

Dilantik menjadi pengendali Barcelona, Guardiola melantik Tito Vilanova - rakan paling rapatnya di La Masia - sebagai pembantu, dan mereka memberi peluang kepada muka baru berada dalam skuad utama.

Gandingan pemain lepasan La Masia menobatkan 14 kejuaraan selama empat musim Guardiola bersama Barcelona dikatakan tidak mungkin ditandingi mana-mana jurulatih lain.

Filem dokumentari itu juga menceritakan - dalam bentuk karikatur - bagaimana Jose Maurinho yang 'sangap' mengisi kekosongan ditinggalkan Rijkaard.

Satu pertemuan rahsia dibuat di Lisbon dan Mourinho membuat pembentangan misi serta visinya bagi meyakinkan pengurusan jika terpilih mengendali The Catalan.

Mourinho bagaimanapun bengang kerana ditolak walaupun pembentangan itu menarik perhatian.

Kebencian pada Barca

Llompart turut bijak memaparkan kelakuan 'hodoh' Mourinho. Antaranya menampar pipi kapten Charles Puyol, mencubit mata Tito Vilanova dan mengejek, memomok serta bersiap sarkastik terhadap pemain Barcelona yang dikasari pemain Real Madrid, sewaktu beliau mengendali skuad Los Blancos itu.

Rupa-rupanya kegagalan menjawat kerusi pengendali Barcelona antara punca mengapa perlawanan el-clasico sepanjang kendalian Mourinho sering memperlihatkan aksi kekerasan Real Madrid terhadap Barcelona.

Ia juga menjawab mengapa The Special One itu selalu berlagak serta melakukan pentomin sebagai penzahiran rasa bencinya kepada Barcelona.

Footage itu diiringi musik opera Itali yang mengejek-ejek sebagai 'penambah perisa' jalan cerita.

Pelantikan Mourinho sebagai pengurus Real Madrid tidak lain adalah untuk menyekat kemaraan Barcelona yang memenangi pelbagai kejuaraan sejak 2009.

Filem itu diakhiri dengan pandangan Hunter menyimpulkan bahawa falsafah dan stail Barcelona itu telah mengajar ramai remaja dan jurulatih mengenai "kekuatan, kebijaksanaan, teknik, keberanian dan risiko" sehingga membangkitkan semangat ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka bermain Barcelona hari ini.

"(To be) the best, act like the best, not (as a) victim," kata Cruyff dalam temubual dalam filem itu. Sampai sekarang rakyat Catalonia dan FC Barcelona berterima kasih dan mengingati jasa beliau yang meninggal dunia pada 24 Mac lalu kerana kanser paru-paru.


ABDUL RAHIM SABRI bekas wartawan Malaysiakini dan penyokong FC Barcelona.

Lihat Komen
ADS