Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Garin bikin filem Setan Jawa 'bisu', hitam putih
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 10:51 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Untuk memperingati pembabitannya selama 35 tahun dalam industri seni pengarah Garin Nugroho bakal menghasilkan filem istimewa berjudul Setan Jawa.

Ia berbeza daripada filem yang pernah dihasilkannya kerana Setan Jawa itu bakal hadir dalam versi hitam putih dan 'bisu' (tanpa dialog), dijangka mula ditayangkan pada minggu ketiga September ini.

"Filem ini bakal diiringi orkestra Rahayu Supanggah," katanya kelmarin.

Rahayu adalah komposert Indonesia yang menghasilkan banyak mahakarya dan kini menetap di London.

Kata Garin Setan Jawa diusahakan kerana dia mahu menghasilkan karya yang mencabar dari segi artistik.

Selain Setan Jawa, Garin juga menghasilkan filem Nyai dengan latar waktu 1920-an. Bagaimanapun belum ada tarikh muktamad untuk tayangan Nyai setakat ini.

"Ia adalah filem dengan satu shot (berdurasi) satu setengah jam," katanya.

Selama 35 tahun berkarya, pelbagai filem sudah dihasilkannya. Antara yang diingati ramai ialah Daun Di Atas Bantal, Bulan Tertusuk Ilalang dan Cinta Dalam Sepotong Roti.

Menariknya filem Garin dibuat mengikut latar waktu berbeza-beza.

Guru Bangsa: Tjokroaminoto (yang dihasilkan pada 2014) menggambarkan era 1900-an, manakala Ach... Aku Jatuh Cinta (2015) mengambil latar waktu era 1970-an. Cinta dalam Sepotong Roti (1990) berlatarbelakangkan waktu 1990-an dan Daun di Atas Bantal (1997) mengenai Indonesia di era 1998..

Tema yang dibawakan Garin juga bermacam-macam - daripada cinta, radikalisme, politik hingga ke mistik.

Sementara itu Gerakan Jogja Independent menamakan Garin sebagai satu daripada lima calon bebas untuk bertanding merebut jawatan datuk bandar di situ.

Selain Garin, empat nama lain ialah Emmy Yuniarti, Rommy Heryanto, Fitri Paulina dan Adrie Primera Nuary.

Keputusan itu diambil selepas dipersetujui gerakan berkenaan yang mengadakan konvensyen di Yogyakarta pada 17 April lalu.

Indonesia mengamalkan sistem demokrasi menyeluruh untuk memilih penjawat awam bagi pelbagai peringkat, dari ketua kampung sehingga ke presiden.

Setiap jawatan dipertandingkan untuk diundi secara langsung oleh orang ramai.

Berdasarkan pungutan suara melalui Twitter oleh Yayasan Hip Hop Yogya mendapati 66 peratus daripada 133 responden memberikan sokongan kepada Garin berbanding tiga calon dicadangkan iaitu Haryadi Suyuti (Datuk Bandar Yogyakarta sekarang) dan Imam Priyono (timbalan Haryadi), M Fuad Andreago (Ketua Gerakan Pemuda Kabah).

Lihat Komen
ADS