Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pustakawan gadai nyawa demi buku, manuskrip Mali
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 10:00 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Dalam kegelapan malam sekumpulan 'penyeludup' bergerak perlahan-lahan membawa barang larangan. Mereka perlu berhati-hati bagi mengelak dihidu militan lengkap bersenjata yang berkawal di Timbuktu, Mali.

Mereka bukan 'penjenayah' biasa, sebaliknya sekumpulan pustakawan. Bahan yang cuba diseludup itu adalah puluhan ribu buku, makalah dan manuskrip dengan sesetengahnya wujud sejak abad ke-11 lagi.

Dalang kepada misi itu ialah pengumpul bahan bacaan bernama Abdel Kader Haidara.

Sebahagian besar masa Abdel Kader dihabiskan untuk menjelajah Mali dan barat Afrika untuk mengesan bahan tinggalan silam di wilayah kaya dengan sejarah itu.

Semua bahan langka yang dikumpul kemudian dipulihara dan dibuat salinan dalam bentuk digital.

Manuskrip bahasa Arab, Afrika

Antara koleksi Abdel Kader setakat ini ialah sejumlah catatan sejarah tentang kebangkitan dan kejatuhan raja wilayah Sahara dan Sudan serta manuskrip tentang polemik ilmuan Islam dalam pelbagai isu, daripada poligami hingga amalan merokok.

Turut dikumpul, manuskrip mengenai kaedah rawatan semula jadi menggunakan haiwan atau tumbuh-tumbuhan serta naskah bertulis tentang astronomi, kesusasteraan dan matematik.

Kata Abdel Kader hampir semua orang diberitahu bahawa tiada rekod sejarah Afrika dalam bentuk bertulis.

Hakikatnya, kata Abdel Kader dia menyimpan puluhan ribu dokumen mengenai hal itu dalam bahasa Arab dan Afrika.

Pada 2012 berlaku krisis di Mali dan Abdel Kader sedar dia perlu bertindak segera bagi menyelamatkan khazanah bersejarah dan penting di negaranya.

Kemudian keadaan menjadi lebih buruk apabila pemberontak Tuareg dan militan al-Qaeda menawan beberapa wilayah di utara Mali - termasuk Timbuktu.

Presiden Amadou Toumani Touré digulingkan, peraturan ketat didakwa mematuhi hukum Islam dilaksanakan di Azawad. Hasilnya undang-undang sempit dikuatkuasakan.

Militan musuhi toleransi

Kebenaran hanya ada di mata militan berkenaan. Selain daripada apa yang mereka rasa "benar" adalah "salah".

Antara yang terancam oleh fahaman itu ialah bahan bacaan yang tersimpan di Timbuktu.

Ketika ditemu bual National Geographic Abdel Kader berkata manuskrip yang diselamatkannya itu membuktikan Islam adalah agama penuh toleransi.

"Ia bukan saja dapat mengubah persepsi Barat terhadap Islam sebaliknya memperbetulkan salah faham terhadap konsep jihad - sesuatu yang pasti tidak dibenarkan militan," katanya.

Beberapa hari selepas dikuasai militan Abdel Kader menghubungi rakannya di Persatuan Pustakawan Timbuktu dari 45 perpustakaan di bandar itu.

Di bawah pengawasan mereka ada kira-kira 400,000 bahan bacaan langka sedang diselenggara.

"Saya rasa kita perlu membawa keluar manuskrip itu dari perpustakaan dan menyimpannya secara berselerak di mana-mana rumah yang sesuai.

"Kita tidak mahu militan mengambilnya untuk dimusnahkan," katanya kepada The Wall Street Journal.

Dengan bantuan keluarga dan aktivis Abdel Kader membeli bahan yang perlu untuk membina bangunan tempat menyimpan manuskrip berkenaan.

Bungkus dalam gelap

Ia perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak kecurigaan militan.

Bahan itu dihantar ke Mamma Haidara di selatan Timbuktu. Ketika malam yang sesuai sekumpulan sukarelawan berkumpul untuk membungkus manuskrip itu dengan berhati-hati.

Lampu yang digunakan sangat minimum kerana memang tiada bekalan elektrik di situ.

Selepas dibungkus ia kemudian diseludup keluar dengan bantuan keldai ke tempat dikenal pasti untuk menyembunyikan bahan bacaan berkenaan.

Dalam tempoh beberapa bulan hampir 2,500 tempat persembunyian manuskrip dibuat dengan susah payah bagi mengelak dikesan anggota al-Qaeda.

Dengan sumbangan pelbagai pihak, 'bahan larangan' itu dibawa melalui sungai atau jalan darat dengan berhati-hati bagi mengelak sebarang kerosakan.

Ia tentulah tidak mudah. Militan berkawal memang sangat berhati-hati kerana mereka berdepan dengan risiko aktiviti penyeludupan senjata serta ancaman lain.

Di sisi lain tentera Mali yang dibantu pasukan keselamatan Perancis juga sentiasa mencurigai aktiviti yang dianggap luar biasa.

Maknanya Abdel Kader dan sukarelawan lain terperangkap di tengah-tengah antara militan dan pasukan keselamatan Mali.

Dalam satu kejadian tentera Perancis nyaris melepaskan tembakan ke arah sebuah bot sarat berisi buku suatu ketika dulu. Semuanya kerana 'penyeludup' berkenaan disangka membawa senjata api.

Sepanjang tempoh sembilan bulan aktiviti menyeludup keluar manuskrip bersejarah itu berlasung. Pada masa sama militan juga tidak berdiam diri.

Dianggarkan kira-kira 4,000 manuskrip dimusnahkan mereka.

Tiada jaminan terus selamat

Berdepan dengan militan memang tidak mudah. Anak buah Abdel Kader sendiri nyaris dipotong tangannya kerana didakwa mencuri ketika ditahan bersama sejumlah buku perpustakaan pada suatu malam.

Mohammed Toure disiasat dan polis al-Qaeda mengesyaki dia pencuri. Nasib baik Abdel Kader sempat mencelah dan mendakwa pemuda itu adalah pekerja muzium.

Manuskrip yang dibawa itu, kata Abdel Kader, adalah untuk dibaik pulih.

Dalam kejadian lain sebuah perahu membawa 300 bungkusan buku ditahan pihak yang mahu mengambil kesempatan. Buku itu dijadikan 'tebusan'.

Ia hanya diselamatkan selepas Abdel Kader membayar sejumlah wang sebagai pampasan.

"Jika kami tidak bertindak, saya hampir pasti lebih banyak manuskrip yang akan dibakar," katanya.

Setakat ini bahan langka itu terselamat tetapi bukan selamanya. Dengan faktor cuaca serta kemudahan yang terhad serta daif, ia boleh musnah dengan sendiri.

Kerajaan Mali menganggarkan AS$11 juta (RM42.7 juta) diperlukan untuk membina bangunan baru di ibu negara bagi menyelamatkan manuskrip berkenaan.

Lihat Komen
ADS