Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
#KamiSokongKamil pertahan KP Finas
Diterbitkan:  May 1, 2016 5:19 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Tindakan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) mempertikaikan keberkesanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini mencetuskan trending #KamiSokongKamil di media sosial.

Melalui hashtag itu pelbagai pihak termasuk artis menyatakan sokongan mereka kepada Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman, dalam usahanya mengelola hal ehwal perfileman negara.

Antara pelakon yang dilihat memberikan sokongan kepada Kamil setakat ini ialah Nam Ron, Beto Kusyairy, Bront Palarae, Afdlin Shauki, Zahiril Adzim, Sharifah Amani dan Susan Lankester.

Difahamkan sebelum ini Kamil memberitahu Finas tidak pernah campur tangan dalam urusan dalaman Gafim, sebaliknya bersikap terbuka terhadap sebarang pandangan yang diberikan.

Kenyataan itu dibuat ekoran tindakan Presiden Gafim, Datuk Jurey Latiff Rosli menghantar surat kepada menteri pada 8 Mac lalu untuk mengadu mengenai hal pentadbiran Finas.

Bagaimanapun tindakan Jurey itu mendorong Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Filem Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Sinematografer Malaysia (MYSC) dan Persatuan Pos-Produksi & Animasi Malaysia (Postam) bertindak keluar dari Gafim.

Mereka memberi alasan tindakan Jurey itu bersifat peribadi dan mengecewakan persatuan berkenaan.

Afdlin melalui akaun Facebooknya menyatakan dia mengenali Kamil sejak lama dulu ketika ketua pengarah tersebut aktif bermain muzik dan membantu banyak kumpulan indie.

Ketika Kamil berkhidmat di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kata Afdlin, banyak kemajuan dicapai agensi berkenaan.

Selepas dipindahkan ke Finas, Afdlin berkata, dia teruja kerana untuk pertama kali seorang "peminat tegar filem yang berakal" dilantik ke jawatan itu.

"Saya percaya dengan konsep beliau to run finas like a business (mengendalikan Finas sebagai entiti perniagaan) sebab kalau tidak, akan ada terlalu ramai freeloaders (penyibuk) dan orang yang mengambil kesempatan pasal takde accountabiliti," katanya.

Sebagai pengusaha dan penerbit filem Afdlin berkata dia dan ramai rakan yang lain memberi sokongan padu kepada Kamil.

Lihat Komen
ADS