Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerajaan haramkan filem dedah wabak rasuah
Diterbitkan:  May 2, 2016 12:22 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Disenaraikan di tempat 117 daripada 175 negara paling korup tidak menghalang Pakistan bertindak mengharamkan filem mengenai amalan rasuah, Maalik.

Alasan Islamabad: Maalik - yang bercerita tentang wabak rasuah dalam sektor perundangan, penguatkuasaan dan kalangan politikus - menggalakkan keganasan.

Maalik yang sudah ditayangkan di pawagam, ditarik balik selepas ia dianggap tidak sesuai ditayangkan kepada penduduk Pakistan oleh kementerian penerangan negara itu pada minggu lalu.

Ia berbeza dengan pengharaman filem sebelum ini apabila keputusan mengenainya dibuat oleh lembaga penapis filem sesebuah wilayah.

Apakah sebenarnya yang dikisahkan melalui filem arahan Ashir Azeem itu?

Maalik bercerita mengenai seorang bekas komando elit yang diupah untuk melindungi pemimpin feudal yang korup dan bercita-cita mahu menjadi ketua menteri.

Di situ masalah bermula. Kata penganalisis watak ketua menteri itu sangat menyerupai KetuaMmenteri Wilayah Sindh, Qaim Ali Shah, termasuk wujud persamaan latar etniknya.

Filem ancam perpaduan

Kata sumber kementerian, Maalik diharamkan kerana watak ketua menterinya digambarkan sebagai kaki rasuah serta gemar hidup bermewah-mewahan.

Anak Qaim yang juga ahli parlimen Khairpur, Pakistan, Dr Nafisa Shah berkata Maalik berniat jahat dan hanya akan memecah-belahkan masyarakat.

"Ia akan mengancam perpaduan negara," katanya.

Pada babak lain pegawai kerajaan digambarkan berpuak-puak. Ia didakwa membawa propaganda tentera manakala sesetengah pihak pula menganggap gambaran itu memburuk-burukkan imej anggota perkhidmatan awam yang tidak serius menangani keganasan.

Insiden ketua menteri ditembak pengawal peribadinya turut mengingatkan ramai kepada kisah sebenar membabitkan pembunuhan Gabenor Punjab, Salman Taseer.

Namun di sebalik larangan kerajaan itu minat orang ramai kepada Maalik sebaliknya bertambah mendalam.

Semakin ramai mahu menonton filem berkenaan di negara yang dinilai Transparency International antara paling kronik mengamalkan rasuah.

Sesetengah penduduk negara itu mengesyaki larangan berkenaan dibuat kerana ia sebenarnya menggambarkan realiti rasuah di Pakistan.

Salah seorang pelakon Maalik, Arif Khan berkata filem itu mendedahkan bagaimana teruknya amalan rasuah di Pakistan.

"Namun mengharamkan filem ini hanya akan menguat dan meningkatkan tarikan kepada Maalik," katanya.

Agama, tentera dilarang

Ashir Azeem (pengarah filem) memberitahu Al Jazeera politikus di Pakistan sangat bimbang terhadap imej mereka di mata masyarakat antarabangsa.

"Ahli politik akan cuba menapis apa saja bahan yang boleh menjejaskan nama baik mereka," katanya.

Sementara itu seorang pelajar Kashmala Qureshi berkata filem sepatutnya bahan untuk hiburan dan memberi mesej kepada orang ramai.

"Jika filem itu bercerita mengenai rasuah dan kerajaan berasa terancam, maknanya mereka memang bersalah," katanya.

Islamabad dilaporkan memang sangat teliti dengan pandangan orang lain, terutama negara luar.

Walaupun di sesetengah negara larangan sebegitu dianggap keterlaluan, di Pakistan kaedah berkenaan tetap dianggap wajar oleh kerajaan.

Pada masa sama kebebasan bersuara didakwa semakin berkurangan dengan kebanyakan wartawan dan penganalisis berasa sesetengah isu tidak boleh disentuh.

Antaranya membabitkan perihal agama dan tentera.

Keadaan itu, kata mereka, membawa kepada budaya penapisan kendiri (self-censorship).

Lihat Komen
ADS