Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Naratif sekuel cinta Rangga (Nicholas Saputra) dan Cinta (Dian Sastrowardoyo) yang lebih menarik dan mencabar, lakonan dan dialog matang serta prosa dan puisi yang menusuk kalbu.

Latar warna yang dimainkan pula seiring dengan plot dan mood cinta mereka tidak pernah pudar sejak lebih sedekad lalu.

Faktor itulah memperlihat kekuatan filem yang mempertaut kembali semua pelakon - kecuali Ladya Cheryl (membawa watak Alya) - dan mengingatkan saya mengenai filem Volver arahan Pedro Almodovar pada 2006.

Itu kesimpulan yang saya dapat buat dalam filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) 2 yang kembali menemui peminat selepas 14 tahun berlalu.

Dan saya masih ingat filem AADC pada 2002 mengubah minat anak muda tentang puisi dan filem.

Ketika itu ada anak muda mahu jadi penyair. Pelbagai ulasan filem disyarahkan dalam media massa sehingga terbitnya majalah seni dan budaya Siasah (kini tidak lagi beroperasi), dan nama Cinta dan Rangga meniti di bibir anak muda.

Sendiri dalam kesedihan lama

Lebih menarik, penyair Indonesia Chairil Anwar - antara subjek dalam filem AADC - pada mulanya tidak dikenali sehinggalah sajaknya Aku dibaca dalam majlis rapat umum atau majlis bacaan puisi anak muda.

Jika filem pertama, buku Aku karangan Sjuman Jaya sering dibaca Rangga sewaktu sendirian di sekolah menengah atas, dalam AADC 2 dia masih lagi "sendiri dan seperti menyalami kesedihan lama" dalam kematangannya.

Sejak AADC juga, industri filem Indonesia terus pantas mengorak langkah ke depan meninggalkan industri filem di Malaysia, yang nampaknya masih terkial-kial mencari identiti kisah cintanya yang tersendiri.

Mengapa pada permulaan artikel ini, saya berkata sambungan filem arahan Riri Riza ini lebih menarik dan mencabar?

Barangkali kerana penggambaran dibuat di dua benua yang berjauhan - pinggir Brooklyn di AS dan Jogjakarta/ Jakarta di Indonesia - yang saling tumpang tindih dalam AADC 2 ini.

Pembukaan filem ini cukup menarik perhatian saya. Master shot suasana subuh dan bunyi kereta api bergerak di Brooklyn dan kawasan sekitarnya menggoda hati untuk tekun menonton babak 10 minit pertama.

Nyata ia tidak mengecewakan apabila perwatakan Rangga diperkenalkan melalui latar suara bacaan puisi Tidak Ada New York Hari Ini dan Pagi Di Central Park karangan M Aan Mansyur.

Warna-warni Brooklyn, Jogja

Ditambah pula, filem ini turut mengajak penonton menelusuri warna-warni jalan dan lorong di Brooklyn yang memaparkan pelbagai ragam dan gaya hidup manusia, selain grafiti di dinding bangunan. Hal yang sama dilakukan di Jogjakarta apabila ia dihiasi warna-warni tradisi dan penduduknya.

Nada warna musim sejuk di permulaannya, kamera yang menjejak Rangga serta siri shot close up dan full shot mengajak penonton bersama-sama menyelami kehidupan peribadi, keresahan dan kesunyian pemuda itu yang membuka kedai kopi di Brooklyn bersama rakan niaganya.

Saya juga berpandangan AADC 2 berjaya mengangkat sekali lagi seni, budaya dan sastera Indonesia ke layar perak seperti dalam filem sebelum ini.

Selepas memperkenalkan Rangga, babak 10 minit kedua AADC 2 memperkenalkan perwatakan Cinta dan rakan-rakannya - Milly, Carmen dan Maura (tanpa Alya yang digambarkan meninggal dunia).

Cinta diperkenalkan sebagai wanita periang ria, cantik, matang dan menjadi tunangan orang.

Carmen (Adinia Wirasti) pula 'rapuh' tetapi tabah selepas rumahtangganya berantakan akibat ditinggalkan suami, sementara Maura (Titi Kamal) lebih jelita dan bentuk badannya kelihatan sama seperti 14 tahun lalu walaupun di dunia sebenar dia sudah beranak empat.

Berdamai selepas kematian

Sementara Milly (Sissy Priscillia) pula lebih bulat dan berisi kerana mengandung hasil perkahwinannya dengan Mamet (Dennis Adhiswara).

Mamet adalah rakan sekolah mereka yang disering dipergunakan sewaktu ketika dulu, tetapi kini dipaparkan dengan sikap lebih matang.

Lakonan Mamet dan Milly berjaya mencuit hati penonton (di kala plot atau babak meleret) kerana gaya lakonan dan lontaran dialog mereka memang bersahaja.

Dalam AADC 2, Cinta dan tiga rakan karibnya bersetuju untuk berlibur ke Jogjakarta sebelum dia mengakhiri zaman bujangnya. Cinta turut mengumumkan menerima cincin sebagai tanda pertunangannya.

Pada masa sama, Rangga memutuskan untuk pulang ke Jogjakarta bagi menemui ibunya - yang tidak pernah dikenalinya sejak kecil.

Meskipun tidak mengakui mempunyai ibu, tetapi selepas dipujuk adik tirinya, Rangga memutuskan untuk berdamai dengan si ibu setelah bapanya meninggal dunia.

Jujur memohon maaf

Lalu berlakulah pertemuan Cinta - Rangga di Jogjakarta hasil perancangan Milly dan Carmen.

Dari situ plot AADC 2 bergerak perlahan-lahan ke kemuncak.

Ketika itulah juga ditunjukkan bagaimana hati Cinta bergetar dan berasa suatu yang pelik.

"Rangga, apa kamu buat kepada aku, jahat," kata Cinta dalam pertemuannya dengan Rangga di kemuncak penceritaan.

Kemudiannya disusuli permohonan maaf yang jujur daripada Rangga. Pemuda itu menjelaskan mengapa dia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungannya dengan Cinta.

Isu komitmen pengajian dan kehidupan yang terumbang ambing selepas kematian bapanya antara sebab dia bertindak begitu walaupun pesanan si ayah supaya "cepat habis belajar dan pulang ke Jakarta menjaga Cinta" masih diingatinya.

Pada pandangan Rangga dia berasa tidak layak menjaga Cinta dan perlahan-lahan mengundur diri selama sembilan tahun.

Perbualan dengan dialog matang dan bersahaja membawa kepada pengembaraan Rangga dan Cinta selama 24 jam ke lokasi menarik dan alamiah di Jogjakarta. Sekali lagi perasaan cinta mereka kembali menghangat.

Terdapat juga babak mereka berinteraksi dengan alam semulajadi seperti berkejar-kejaran dalam hutan pada waktu pagi dan memanjat tangga bangunan untuk menikmati matahari terbit.

Babak itu menggambarkan bagaimana cinta mereka mekar semula.

Kepintaran pengarah bermain dengan alam dan cuaca - sama ada di Brooklyn atau Jogjakarta - menjadikan rentak AADC 2 berlalu lancar dan jujur.

Kemuncaknya, Cinta mencumbui Rangga walapun dia sedar apa yang dilakukan itu "salah".

Babak mengejar Rangga yang kembali ke Brooklyn juga menarik kerana ia membawa pusingan plot untuk mengejutkan penonton.

Anda perlu menonton filem ini untuk mengetahui kesudahannya. Nampaknya tempoh hampir sedekad belum memadai untk membekukan cinta Cinta dan Rangga.


ABDUL RAHIM SABRI bekas wartawan Malaysiakini

Lihat Komen
ADS