Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Untuk bertahan dan berjaya dalam hidup kumpulan rock Bunkface berpendapat mereka tidak boleh terikut-ikut dengan pandangan yang menjurus ke arah negatif.

Sebaliknya mereka yakin, apa yang dirasakan perlu dibuat, mesti dibuat.

Perkara itu pula tidak terbatas hanya dalam usaha mereka melebarkan pengaruh dalam industri muzik, sebaliknya terpakai juga ketika membabitkan diri dalam bidang perniagaan seperti mengusahakan produk pewangi badan.

Jelas ketika berbicara soal pandangan, vokalis Bunkface, Sam, pantas memberikan jawapan mudah lagi klise untuk dua hal di atas.

“Kami tiga sekawan tidak pernah mengambil pusing cakap-cakap belakang kerana ia boleh menjejaskan reputasi dan kerjaya Bunkface.

“Lebih mudah bagi kami untuk membiarkan saja pandangan negatif itu berlalu kerana yang penting band ini bertahan lama," katanya.

Bunkface ditubuhkan pada 2006 dan berasal dari Klang turut dianggotai oleh dua lagi ahli iaitu Youk (basis) dan Paan (gitaris).

Menjawab soalan diajukan, kumpulan yang popular dengan lagu Malam Ini Kita Punya, Situasi dan Ekstravaganza itu dilihat lebih selesa untuk terus berpandangan positif.

Risau tapi yakin

Ia termasuk ketika ditanya mengenai keyakinan mereka menjayakan konsert berskala besar.

Biarpun masih dalam perancangan, namun Bunkface kelihatan yakin untuk bersaing dengan nama besar dalam industri walaupun ia boleh menimbulkan sedikit kebimbangan terutama daripada sambutan penjualan tiket.

Konsert bersempena meraikan tahun ke-10 band itu ditubuhkan bakal diadakan Oktober nanti dan ia memang diidamkan ketiga-tiga anak muda itu sejak dari awal pembabitan mereka lagi.

Percaya pada rezeki dan takdir Bunkface meletakkan kepercayaan kepada Bunkers - gelaran untuk peminat setia mereka - untuk memberi sambutan sepatutnya.

“Ya, sememangnya kami risau kerana konsert yang banyak berlangsung pada tahun ini dihiasi nama-nama besar seperti Ella, Slam, Search dan ramai lagi.

“Tetapi rezeki itu terletak pada tangan Tuhan, setiap artis mempunyai golongan peminat yang tersendiri, begitu juga kami.

"Jadi, kami menaruh harapan pada Bunkers dan akan sedaya-upaya memastikan tiket dibeli mereka berbaloi,” katanya.

Bukan itu saja, sekali lagi Bunkface memberi pandangan positif ketika ditanya mengenai pembabitan mereka mengusahakan produk minyak wangi.

Dalam usaha meluaskan ‘empayar’ Bunkface, ketiga-tiga mereka tidak kisah sekiranya perniagaan yang diceburi menjadi ikutan artis lain.

“Kenapa tidak menceburkan diri dalam perniagaan sedangkan ini sudah 2016? Semua orang juga melakukan perkara sama (berniaga) bagi mencari pendapatan tambahan.

“Alhamdulillah, untuk produk Bunkface Revolution dan Bunkface for Her yang sudah berada di pasaran sejak Februari lalu, penjualannya menarik minat golongan muda.

“Walaupun ada artis lain yang turut mengusahakan produk sama, tetapi kami menjadi kumpulan muzik pertama yang melakukan perniagaan ini dan itu adalah satu pencapaian membanggakan,” katanya.

Lihat Komen
ADS