Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dilwale Dulhania Le Jayenge paling 'menikam'
Diterbitkan:  May 4, 2016 5:32 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Biar apa pun tanggapan orang, kaji selidik menunjukkan gabungan Shah Rukh Khan - Kajol memang salah satu resipi terbaik untuk sebuah filem yang digemari.

Namun filem itu bukanlah Kuch Kuch Hota Hai yang ditayangkan pada 1998, sebaliknya kemunculan pasangan itu tiga tahun lebih awal.

Media melaporkan, Dilwale Dulhania Le Jayenge adalah produksi paling malar segar dalam industri perfileman Hindi.

Kaji selidik dilakukan SoGoSurvey menunjukkan filem arahan Aditya Chopra itu masih menjadi pilihan pertama orang ramai yang ditanya tentang kisah cinta paling digemari mereka.

SoGoSurvey adalah firma kaji selidik dan penyelidikan pemasaran terkenal di dunia dan berpangkalan di AS.

Dilwale Dulhania Le Jayenge mengisahkan perjalanan hidup dua anak muda - Raj (Shah Rukh) dan Simran (Kajol) - yang jatuh cinta ketika bercuti di Eropah.

Kebanyakan penganalisis memuji filem itu kerana memaparkan nilai kekeluargaan yang kuat sambil mempertemukan dua segmen masyarakat secara menghiburkan.

Tahun lalu ada Dilwale

Dilwale Dulhania Le Jayenge membuat kutipan tiket bernilai AS$37.7 juta (RM151.1 juta) di seluruh dunia menjadikan ia filem paling menguntungkan pada 1995.

Ia juga dianggap filem paling berjaya dalam sejarah perfileman India.

Hampir 21 tahun selepas ditayangkan kali pertama, Dilwale Dulhania Le Jayenge kini masih boleh ditonton di sebuah pawagam di Mumbai.

Kaji selidik itu dibuat dengan membabitkan 4,100 responden dari pelbagai bandar raya di India, termasuk Mumbai, Delhi, Pune, Kolkata dan Hyderabad.

Daripada semua responden 47.33 peratus memilih Dilwale Dulhania Le Jayenge sebagai filem cinta malar segar termasuk di kalangan peminat berusia antara 36 hingga 50 tahun.

Di tempat kedua ialah filem arahan Mohit Suri (terbitan 2013), Aashiqui 2, lakonan Aditya Roy Kapur dan Shraddha Kapoor, diikuti Bajirao Mastani (dibintangi Deepika Padukone dan Ranveer Singh) dan 2 States (Arjun Kapoor dan Alia Bhatt).

Tahun lalu Dilwale mempertemukan Kajol dan Shah Rukh sekali lagi tetapi sambutan terhadap filem itu di India sangat mengecewakan.

Lihat Komen
ADS