Paling Popular
Terkini

Untuk mengangkat martabat filem tempatan, penerbit sepatutnya menghasilkan karya yang berpijak di bunyi nyata, bukan bercerita tentang sesuatu yang 'tidak nampak dipandang'.

Itu antara cadangan dilontarkan pelakon Wan Hanafi Su.

“Hentikanlah buat cerita hantu, siapa nak tengok benda yang kita tak nampak wujud di alam nyata ini.

“Pada saya, naskhah berkualiti dan isu yang baik menjadi satu daripada faktor mustahak untuk sesebuah karya boleh dibanggakan," katanya kepada Malaysiakini.

Filem terbaru lakonan Wan Hanafi, Apprentice, bakal ditayangkan di Festival Filem Cannes yang akan berlangsung antara 11 hingga 22 Mei ini.

Ia dianggap antara festival filem paling berprestij di dunia.

Kata Wan Hanafi industri perfileman tempatan perlukan naskhah yang menjadi "makanan realiti", sering dihadapi masyarakat tetapi kurang disedari umum.

Filem begitulah, kata Wan Hanafi, yang perlu dihasilkan.

Jangan terikut-ikut

Katanya, untuk memperjuangkan industri kreatif negara yang dianggapnya mempunyai masa depan yang "samar-samar" seseorang penerbit filem tidak boleh leka memilih tema yang ingin diketengahkan.

Untuk itu, pada pandangan Wan Hanafi, 66, pihak yang terlibat harus memilih sama ada mahu menjadi kaya-raya ataupun dikenang kerana karya yang diperjuangkan.

“Sudah tentu penerbit akan menilai pasaran semasa mengikut trend terkini tetapi sepatutnya menjadi kaya semata-mata bukan matlamat akhir.

"Seandainya mereka hanya mahu cepat kaya buatlah filem komersial ataupun tidak perlulah bergiat dalam industri perfileman," katanya.

Penerbit juga, kata Wan Hanafi yang mula terlibat dalam dunia lakonan sejak 1970-an itu, tidak perlu terikut-ikut membuat filem seram atau fantasi keterlaluan.

"Mungkin itu boleh menjadi jawapan untuk filem kita menembusi kekangan pasaran negara luar," katanya.

Jumpa anak banduan

Sementara itu mengenai filem Apprentice Wan Hanafi membawa watak Rahim - seorang pelaksana hukuman gantung di penjara.

Filem terbitan syarikat produksi Singapura itu dipertandingkan bersama 17 filem lain untuk kategori Un Certain Regard di Cannes, Perancis.

Antara negara yang mengambil bahagian bagi kategori itu ialah AS, Iran, Itali, Bulgaria dan Russia.

Apprentice berkisar mengenai usaha Rahim mencari calon penggantinya dan usaha itu mempertemukan dia dengan anak banduan yang pernah maut di tangannya.

Ia diarah oleh Boo Junfeng dan mengetengahkan isu hukuman gantung mandatori di Singapura. Apprentice adalah filem kedua Boo yang dibawa ke Cannes.

Kata Wan Hanafi sebelum ini dia memang pernah meletak harapan pada filem yang pernah dilakonkannya untuk ditayangkan di Cannes.

Namun, katanya, walaupun pernah ada harapan, ia kemudian berkubur.

Di sebalik itu Wan Hanafi menegaskan dia tidak terlalu kecewa sebaliknya pasrah dan menganggap naskhah berkenaan belum dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Ada beberapa filem yang pernah saya lakonkan diharap dapat pergi jauh ke Cannes cuma masanya belum tiba. Mungkin disebabkan faktor pengisian, lakonan pelakon, lokasi atau lain-lain.

“Saya tidak kecewa tetapi menerima hakikat yang tersurat,”katanya.

Lihat Komen
ADS