Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Naskhah Ombak Rindu sudah berakhir pementasannya di Istana Budaya tetapi cerita tentang persepsi orang ramai mengenai pelakonnya seola-olah enggan menemui penyudah.

Antaranya kecaman sesetengah pihak memberi pemilihan pelakonnya yang bertudung hinggalah ke babak bersentuhan bukan mahram yang dipertontonkan.

Terbaru, tindakan Uqasha atau nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 24, memuat naik sekeping gambar menerusi akaun Instagram dilihat menimbulkan reaksi bercampur-baur umum.

“Ada saja yang suka mencari salah saya hingga sampai pada satu tahap, saya mengambil sikap tidak peduli kerana berasakan itu adalah langkah terbaik.

“Begitulah mentaliti tipikal masyarakat kita - asyik menghentam dan perkara sedemikian memang susah nak dielakkan," katanya kepada Malaysiakini.

Setiap kali perkara begitu timbul, kata Uqasha, dia lebih selesa berdiam diri kerana baginya, apa yang lebih penting adalah tugasan yang diberikan sudah dilakukan sebaik mungkin.

Bagi pelakon utama drama televisyen Tundukkan Playboy Itu, 'terjahan' kasar pengikutnya di media sosial menyedihkan kerana ia menggambarkan sikap kurang sopan sesetengah anggota masyarakat.

Tak terdaya menjawab

Justeru, Uqasha berkata, untuk berlaku adil orang yang ditegur sepatutnya diberi ruang membuat penjelasan atau mempertahankan diri.

“Penangan media sosial sekarang amat hebat hinggakan begitu banyak komen ditulis tanpa menjaga perasaan kita.

“Pihak yang gemar mencari salah orang mungkin tidak sedar cakap-cakap mereka itu hanya mengikut sedap mulut dan artis biasanya tak terdaya hendak menjawab.

“Kalau menjawab pun orang yang dikecam semakin teruk dikecam," ujar kakak kepada Nelydia Senrose itu.

Selepas sembilan hari dipentaskan di Istana Budaya teater Ombak Rindu arahan A Aris Kadir itu melabuhkan tirainya pada 1 Mei lalu.

Dalam Ombak Rindu, Izzah dan Suri adalah dua karakter berbeza yang digalas oleh Uqasha.

Izzah adalah Isteri Haris (Keith Foo) yang menampilkan ciri-ciri wanita yang lemah lembut.

Untuk sisi lain pada karakter Izzah itu ada pula watak Suri yang mengalami masalah hilang ingatan selain bersikap kasar.

Sekeping foto dimuat naik pada hari terakhir pementasan mamaparkan tangan Keith seakan bersentuhan pada pipi Uqasha.

Menjawab kepada persoalan diajukan Malaysiakini mengenai babak itu, Uqasha berpendapat dia sekadar memenuhi keperluan pementasan.

Boleh dikatakan sejak membawa imej berhijab setiap gerak-geri Uqasha sentiasa menjadi perhatian umum.

Dan ini penjelasan lanjut Uqasha.

“Adegan itu hanya untuk mewujudkan keserasian antara watak suami dan isteri dalam pementasan. Bagi saya ia tidak melampaui batas.

“Saya tahu, kita ada tanggungjawab dan kewajipan. Saya juga mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Saya cuba penuhi satu demi satu tanggungjawab itu perlahan-lahan," katanya.

Lihat Komen
ADS