Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bersama haruman Che Ta 'terkenang' Mahathir
Diterbitkan:  May 23, 2016 5:20 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Sekali pandang ia sekadar bahan promosi minyak wangi biasa daripada Rozita Che Wan, namun jika diperhatikan lebih teliti, ada sesuatu yang menarik di situ.

Bersama dua jenama pewangi itu ialah wajah yang amat dikenali ramai - Tun Dr Mahathir Mohamad.

Imej yang dimuat naik di laman sesawang Instagram itu sebenarnya mempromosi pewangi badan Precious dan Gorgeous dikeluarkan di bawah jenama Rozita, 43, atau lebih dikenali sebagai Che Ta.

Bagaimanapun tiada keterangan yang panjang lebar mengiringi gambar berkenaan.

Sebaliknya Che Ta hanya menulis: Salam Jumaat. Gambar itu dimuat naik pada Jumaat lalu.

Pada bawahnya pula diikuti dengan kata-kata #preciousbyRCW dan #gorgeousbyRCW.

Selain berlakon Che Ta terkenal juga sebagai pengacara dan model.

Memiliki keayuan tersendiri dia pernah menarik perhatian ramai apabila menyatakan sokongannya secara terbuka kepada Mahathir.

Melalui Instagram pada pertengahan April tahun lalu Che Ta menulis: “Tun tidak keseorangan... kami sentiasa teguh di belakang...."

Ketika itu isu 1MDB dan kritikan pedas Mahathir kepada Datuk Seri Najib Razak sedang hangat diperkatakan.

“Dari kita bukan sesiapa hingga dikenali di mata dunia, ia satu pencapaian yang luar biasa. Hal itu boleh dilihat apabila saya ke luar negara dan orang bertanyakan mengenai Malaysia, pasti mereka menyebut Dr Mahathir. Saya turut berasa bangga dengannya,” katanya.

Kali ini Che Ta tidak membuat sebarang kenyataan jelas namun gambar yang dimuat naik di Instagram itu boleh mengundang pelbagai tafsiran.

Lihat Komen
ADS