Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis pop Jepun parah ditikam di dada
Diterbitkan:  May 23, 2016 6:49 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Seorang bintang pop kini berada dalam keadaan kritikal selepas ditikam berkali-kali peminatnya sejurus sebelum dia mengadakan persembahan di Tokyo.

Media melaporkan Mayu Tomita ditikam kira-kira 20 kali di leher dan dada semalam.

Kejadian berlaku di Koganei City yang terletak di barat Tokyo.

Bulan lalu penyanyi berusia 20 tahun itu membuat aduan kepada polis berhubung ancaman diterimanya daripada peminat.

Media Jepun berkata Mayu membuat laporan polis selepas seorang lelaki mula memberi komen keterlaluan mengenainya melalui Twitter dan media sosial lain.

Ekoran kejadian itu polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai Tomohiro Iwazaki, 27, di tempat kejadian.

Suspek dilaporkan berang kerana Mayu tidak pernah membalas hadiah dihantar kepadanya.

Dijadual buat konsert

Sebelum menikam Mayu suspek mendakwa dia bertanya kepada penyanyi berkenaan mengapa hadiah dikirimkannya tidak diendahkan.

"Saya hilang sabar kerana Mayu tidak memberi jawapan jelas," katanya.

Mayu menjadi artis terkenal di Jepun selepas terbabit dalam bidang nyanyian dan lakonan ketika masih menuntut di sebuah kolej.

Blog Mayu menyatakan dia sepatutnya mengadakan konsert di bandar berkenaan pada malam kejadian.

Suspek ditahan bersama sebilah pisau sepanjang kira-kira 8 sentimeter.

Polis Jepun berkata suspek mungkin didakwa atas tuduhan cuba membunuh. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan.

Sehingga petang ini Mayu dilaporkan masih belum sedarkan diri.

Pada 2014 dua anggota kumpulan remaja Jepun, AKB48, cedera diserang seorang lelaki pemotong besi ketika majlis bertemu peminat.

Lihat Komen
ADS