Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shah Rukh jadi lelaki katik
Diterbitkan:  May 24, 2016 5:48 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Sebuah filem memaparkan Shah Rukh Khan dalam bentuk lain daripada yang lain dilapor sedang disiapkan di India.

Tidak seperti selalu kali ini Shah Rukh akan muncul sebagai manusia katik dalam filem - belum diberi judul - arahan Aanand L Rai.

Ia, kata Rai, boleh dianggap sebagai filem "teramat rumit" untuk dihasilkan, sama ada dari segi emosi dan teknikal.

"Shah Rukh membawa watak orang kerdil dan untuk digambarkan ke layar lebar, ia memerlukan ketekunan serta kesabaran," katanya yang biasa menghabiskan masa antara dua hingga tiga tahun bagi menyiapkan sesebuah filem.

Namun di sebalik keadaan fizikal Shah Rukh yang kerdil filem itu tetap memaparkan hiburan serta nilai romantik yang tebal.

Cabaran lebih besar buat Rai ialah menzahirkan emosi antara watak dalam filem.

Kreativiti mempengaruhi

Percaya kepada falsafah bahawa kegagalan seorang pelakon adalah manifestasi kepada kegagalan pengarah, Rai berkata filem terbarunya itu akan menguji kemampuannya menonjolkan "perbualan tanpa kata" pelakon.

Rai, 45, adalah pengarah filem Hindi yang mencipta nama melalui filem komedi romantik Tanu Weds Manu dan Raanjhanaa, masing-masing pada 2011 dan 2013.

Tahun lalu namanya semakin harum apabila filemnya Tanu Weds Manu: Returns mendapat pujian pengkritik serta digemari ramai.

Antara pelakon filem itu ialah Kangana Ranaut, R Madhavan, Jimmy Shergill dan Deepak Dobriyal.

Melalui kerjasama terbarunya dengan Shah Rukh itu, Rai bercerita tentang seorang lelaki setinggi satu meter yang berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.

Mengulas mengenai filem berkenaan Rai berkata, setiap kali dia melalui proses kreativiti ia 'memakan diri' apabila ia mempengaruhinya dengan mendalam.

"Ia menjadikan saya rapuh. Saya mahu filem saya bernyawa dan difahami penonton," katanya.

Lihat Komen
ADS