Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Memenuhkan jadual harian dengan aktiviti seni dianggap langkah paling tepat untuk Fasha Sandha mengatasi dugaan hidup sejak dirinya dilanda kontroversi.

Kini kembali hidup solo, Fasha mengakui komitmen kerjaya itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.

"Alhamdulillah rezeki pada 2016 ini boleh dianggap murah kerana banyak tawaran yang saya terima.

“Saya sebagai 'duta' akan menjalankan promosi program Syukur Selalu yang bakal bersiaran pada Ramadan dan Syawal, selain turun padang untuk program Bazar Syukur Selalu dan Jom Masjid," katanya di acara prebiu media Syukur Selalu Ramadan TV3 & TV9 di Hotel Le Meridien KL Sentral semalam.

Aktres itu terpilih menjadi duta bersama enam lagi selebriti iaitu Uqasha Senrose, Amar Asyraf, Fattah Amin, Janna Nick, Hafidz Roshdi dan Raja Afiq.

Menurut Fasha dia juga akan memulakan penggambaran drama 100 episod Lara Aishah sehingga November.

Dua filem menanti

Tidak cukup dengan itu jadual pelakon Anak Halal dan 4 Madu itu juga 'disibukkan' dengan tanggungjawab selaku duta minyak wangi jenama Fasha Sandha by D’Haja.

Fasha turut terpilih menjadi duta pelancongan Johor yang diterimanya sebagai satu daripada cara dia membalas jasa kepada negeri kelahirannya.

Untuk aksi Fasha di layar lebar, peminat dapat menonton kemunculannya dalam dua filem terbitan Astro Shaw, iaitu Anak Mami Nasi Kandaq dan Dukun Doktor Nani arahan Sabri Yunos.

Filem itu dijadual mula ditayangkan masing-masing pada 1 Syawal dan 14 Syawal.

Melihatkan begitu banyak tugasan Fasha, ibu kepada dua anak itu mungkin dilihat seolah-olah mahu membolot apa saja tawaran di depan mata.

Namun, kata Fasha bukan itu hakikatnya.

Dia menganggap semua ‘tuah’ yang hadir adalah rezeki untuk cahaya matanya - Putra Rayfal, 3, dan Putri Raysha Jemaima, 1.

Pun begitu, Fasha sedar untuk memenuhi kesemua tanggungjawab itu, segala jadual harian perlu dirancang seawal dua atau tiga bulan untuk memastikan tiada pertembungan dengan komitmen lain.

Namun katanya sesibuk manapun dia, masa untuk bersama anak-anak tetap dipastikan ada - iaitu dengan mengambil cuti sekurang-kurang sehari setiap minggu.

Hanya selepas hujung tahun kata Fasha, dia bercadang untuk bercuti panjang.

Sebagai ibu tunggal yang mementingkan kerjaya, Fasha beranggapan dia perlu sentiasa bersikap optimistik bagi meneruskan kelangsungan hidup dan cabaran mendatang.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa segala apa yang ada hanyalah pinjaman daripada Allah.

"Nikmat itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa. Jika kita dapati waktu itu telah tiba, kita harus akur," katanya.

Lihat Komen
ADS