Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Akshay kecewa pelakon aksi ngeri tak dilindungi
Diterbitkan:  May 25, 2016 3:50 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Di balik kehebatan adegan pertarungan, keasyikan irama dan keindahan panorama dalam filem Hindi, ada 'kudis' tersembunyi yang belum ditangani.

Bagi pelakon Akshay Kumar isu berkenaan ialah jaminan perlindungan insurans untuk pelakon aksi ngeri yang sehingga kini terabai.

Sebagai pelaku aksi ngeri yang mempergadaikan keselamatan untuk pelakon, mereka memang sering terdedah kepada pelbagai risiko.

Jika tidak kematian pun, kecederaan dan kecacatan boleh terjadi tanpa diduga.

"Aspek keselamatan kurang diperhatikan di Bollywood.

"Akhirnya kini ada ambulans yang bersedia membantu jika terjadi insiden tidak diingini, tetapi mengejutkan tiada perlindungan insurans untuk pelaku aksi ngeri serta kru produksi," katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Justeru kini dia bersama beberapa personaliti lain sedang cuba mendapatkan perlindungan insurans untuk pelaku aksi ngeri dan kru produksi.

Akshay, 48, adalah salah seorang pelakon paling dikenali dalam industri perfileman Bollywood.

Dilahirkan di Amritsar, Punjab dia memiliki kemahiran seni bela diri dan sering terbabit dalam filem aksi.

Pada 2008 dia dianugerai ijazah doktor falsafah kehormat undang-undang oleh University of Windsor sebagai menghargai sumbangannya kepada dunia perfileman India.

Dia juga suami kepada pelakon Twinkle Khanna.

Sementara itu Akshay berkata dia sedang sibuk mempromosi filem komedi Housefull 3 di bawah arahan Sajid-Farhad.

Turut berlakon dalam filem itu ialah Riteish Deshmukh, Abhishek Bachchan, Jacqueline Fernandez, Nargis Fakhri dan Lisa Haydon. Housefull 3 dijadual mula ditayangkan di India 3 Jun ini.

Lihat Komen
ADS