Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Terlupa beli baju raya, penulis kirimi Ayda dengan surat cinta
Diterbitkan:  May 25, 2016 5:41 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Beberapa jam selepas Ayda Jebat dilaporkan pernah terlupa membeli pakaian raya seorang penulis buku tampil menghantar 'surat cinta' kepada penyanyi itu.

Melalui media sosial Musa Nuwairy berkongsi cerita dengan Ayda - dan orang ramai - tentang keperitan hidup pelarian perang Syria.

Penulis buku Lelaki Terakhir Menangis di Bumi itu menggunakan kesempatan berkenaan menceritakan apa yang disaksikannya di Jordan berdasarkan pengalaman sendiri.

"Ayda Jebat, sudah hampir empat tahun aku hidup dikelilingi pelarian Syria di Jordan. Sudah empat tahun juga aku melihat penderitaan mereka di hadapan mata.

"Ada yang tinggal di dalam khemah-khemah senipis kain guni. Ada yang tinggal di dalam rumah tanpa pemanas walaupun di luar sedang lebat turunnya salji," tulis Musa di Facebooknya hari ini.

Bersama tulisan tersebut, turut disertakan laporan BH Online memaparkan berita bertajuk Ayda Jebat pernah terlupa beli baju raya.

Melalui pengalamannya, Musa berkata, dia pernah melihat bagaimana anak pelarian di sana melompat gembira apabila ayah mereka membawa pulang baju raya.

Tetapi katanya, baju-baju yang dibawa pulang itu bukan baju baru dan bukan juga baju terpakai.

"Tetapi baju raya yang bakal dipakai oleh anak-anak itu pada tahun itu dan tahun-tahun sebelumnya adalah yang dikutip dari dalam tong sampah sekitar pekan Mafraq, Jordan.

"Ya, dikutip, dibasuh dan dipakai semula untuk hari raya pada keesokan harinya," katanya.

Tulisan pemuda berusia 22 tahun itu mendapat perhatian pengikut di Facebook dan dikongsi hampir 300 pengguna media sosial itu.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan berita artis berusia 23 tahun itu, Musa yang juga pelajar di Universiti al-Bayt berkata, dia tidak menyalahkan Ayda berhubung laporan tersebut.

Bagaimanapun dia cuma 'bermimpi' seandainya berita itu ditukar tajuk kepada Baju raya untuk pelarian Syria oleh Ayda Jebat.

"Sudah tentu ribuan pelarian berpeluang menikmati baju raya baru pada tahun ini.

"Oh ya. Kami juga membuka sekolah untuk anak-anak pelarian Syria di sini. Supaya kanak-kanak ini turut merasa apa yang kanak-kanak lain di dunia rasai.

"Bukankah lebih manis kalau tajuk beritanya, Bantu Sekolah Pelarian Bersama Saya?. Oh tuhan, jadikan mimpiku satu realiti," katanya penutup tulisan surat cinta tersebut.

Lihat Komen
ADS