Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Biar lambat asal kekal bahagia - mungkin begitu prinsip yang dipegang pelakon dan pengacara Neelofa ketika membicarakan hal jodohnya.

Menjadi personaliti popular memang menyebabkan seseorang itu diperhatikan bagai di bawah kanta pembesar. Soal jodoh, lagilah.

Kata Neelofa, jodoh lambat atau cepat tidak sedikit pun menjejaskan aktiviti kehidupannya, sama ada sebagai pelakon dan pengacara.

Dia berpendapat, tiada jaminan untuk perkahwinan di usia muda akan membawa bahagia berpanjangan.

Justeru, kata Neelofa, walaupun usianya kini kian menghampiri 30-an dan dia masih belum dimiliki, ia bukan masalah kepadanya.

"Mengikut pengalaman rakan-rakan yang berkahwin awal, iaitu di usia 20-an ada sesetengahnya tidak bertahan lama.

"Tetapi apabila mereka berkahwin buat kali kedua (pada usia yang lebih lewat), sebaliknya rumahtangga itu nampak lebih bermakna dan membahagiakan.

"Itu mengukuhkan lagi pandangan saya bahawa tidak semestinya berkahwin awal itu kekal bahagia," katanya.

Tiada hak menghukum

Neelofa atau nama asalnya Noor Neelofa Mohd Noor, 27, ditemui ketika pelancaran koleksi tudung dan pakaian raya Naelofar Hijab di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur Isnin lalu.

Seperti dirinya yang belum mendirikan rumahtangga Neelofa berpendapat dia tidak berhak menghakimi mahupun menyelar wanita yang lambat berkahwin.

Pada masa sama isu jodoh dan hati sebenarnya tidak pernah lekang daripada ditanyakan kepada pemenang pertandingan Dewi Remaja itu.

Anak kelahiran Kelantan itu juga pernah mengaku menjalin hubungan istimewa dengna dengan aktor Datuk Hans Isaac namun ia dikhabarkan tersekat di tengah jalan .

Namun ada pula khabar menyatakan Neelofa kini kembali berhubung dengan Hans tetapi ia didakwa tidak lebih daripada kawan biasa.

Di majlis pelancaran koleksi pakaian raya itu juga ditayangkan satu klip video dirakam di Langkawi.

Paparan klip berjudul Allah Lebih Tahu menunjukkan seolah-olah Neelofa sedang berteka-teki dan berserah kepada takdir dalam rahsia jodoh.

Video sempena kempen Naelofar Raya 2016 itu boleh disaksikan di YouTube dan Neelofa juga sedang mempertimbangkan ia untuk dijadikan sebgai telemovie atau iklan komersial.

Seperti wanita lain, Neelofa mengakui dia tidak terlepas daripada memasang harapan untuk bertemu calon suami dan melayari bahtera perkahwinan.

“Sebagai seorang wanita sudah tentu saya ingin meniti alam perkahwinan, berjumpa dengan seseorang yang akan membuatkan saya mengakhiri zaman bujang.

“Tetapi - saya tiada berahsia - hingga ke hari ini masih belum ada calon untuk mengisi kekosongan di hati," katanya mengenai lelaki yang mesti mendapat restu kedua ibu bapanya itu.

Lihat Komen
ADS