Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dangdut haram di radio, TV tapi 'halal' di Internet
Diterbitkan:  May 27, 2016 12:00 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Kerajaan sudah mengeluarkan larangan kepada semua stesen radio dan televisyen daripada menyiarkan 13 lagu dangdut haram, namun ia gagal mengelak irama itu terus bertebaran di Internet.

Barangkali itulah konflik yang perlu didepani pihak berkuasa di zaman langit terbuka ini.

Suruhanjaya Penyiaran Indonesia Daerah (KPID) Jawa Barat mengakui lagu terlarang itu tetap berkumandang dan dapat dicapai pengguna Internet.

Ketua KPID Jawa Barat, Dedeh Fardiah, berkata larangan dikeluarkan hanya merangkumi bidang kuasa terhad.

"Urusan kawalan Internet bukan dalam bidang kuasa kami," katanya kepada media dan dilaporkan portal berita tempatan hari ini.

Malaysiakini pada 23 Mei lalu menyiarkan laporan keputusan KPID Jawa Barat menyenaraikan 13 lagu dangdut yang diharamkan disiar oleh stesen radio dan televisyen di wilayah itu.

Antara lagu yang termasuk dalam senarai itu ialah Paling Suka 69 nyanyian Julia Perez, Wanita Lubang Buaya (Mirnawati), Simpanan (Zilvana), Mobil Bergoyang (Asep Rumpi dan Lia MJ) dan Apa Aja Boleh (Della Puspita).

Selain itu beberapa lagu lain dikenakan sekatan terhad dan hanya dibenarkan disiar selepas jam 10 malam.

Antaranya ialah Perawan atau Janda (nyanyian Cita Citata) dan Jablay (Titi Kamal).

Bagaimanapun larangan itu tidak termasuk pusat hiburan dan karaoke.

Selain dinyanyikan artis terkenal kebanyakan lagu itu memang popular di kalangan penduduk setempat.

KPID memberi alasan lagu terbabit tidak sesuai didengar dan mengandungi unsur lucah.

Kata Dedeh, ada pro dan kontra daripada larangan dikeluarkan pihaknya.

"Itu hal biasa, cuma kami bertindak mengikut bidang kuasa yang ada," katanya.

Sementara itu Dedeh berkata KPID Jawa Barat mungkin mendapatkan kerjasama daripada kementerian yang berkenaan bagi mengawal lagu terbabit.

"Antara langkah yang boleh diambil ialah meminta Kementerian Komunikasi dan Penerangan memberikan kesedaran kepada pengguna Internet," katanya.

Lihat Komen
ADS