Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Melly seniman resah, di katil imaginasi merewang

Terkenal sebagai pencipta lagu yang berupaya menghasilkan magis tersendiri dalam berkarya, penyanyi dan komposer Melly Goeslaw mengakui dia tetap memiliki 'rahsia'.

Sebagai seniman, kata Melly, dia adalah manusia yang selalu "resah".

"Kadang-kadang walau tubuh sudah ada di atas katil, imaginasinya masih entah di mana-mana," kata pencetus lagu Ada Apa Dengan Cinta dan Ratusan Purnama itu.

Melly yang berasal dari Jakarta berkata jika dia tidak mendapat tidur secukupnya ia akan membawa masalah lain, iaitu memberi kesan pada suaranya.

Kebiasaannya, kata Melly, dia tidur antara lima hingga enam jam sehari namun pada masa tertentu dia tidak mendapat apa yang diperlukan.

"Apa yang menjadi masalah ialah saya tak biasa tidur awal," katanya.

Melly ditemui di majlis pelancaran album runut bunyi Ada Apa Dengan Cinta 2 di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur kelmarin.

Undang tanggapan buruk

Selain Ratusan Purnama tujuh lagi lagu terkandung dalam album itu ialah Bimbang, I'm Still Loving You, Suara Hati Seorang Kekasih, Sayang Mau Apa?, Jangan Ajak-ajak Dia, Terlalu Cinta dan Perjalanan.

Melly memang komposer lagu terkenal dan pernah mencipta lagu untuk ramai penyanyi popular termasuk Krisdayanti dan Ruth Sahanaya.

Isteri Anto Hoed itu juga memang terkenal dengan penampilan tersendiri melalui kostum eksentrik, mekap tebal atau warna rambut yang ranggi.

Sejak pulang daripada mengerjakan umrah pada 2014 dia mula mengenakan hijab dan gaya itu dikekalkan termasuk ketika membuat persembahan.

Pun begitu, penampilan Melly yang 'luar biasa' itu sering menimbulkan persepsi buruk bukan saja di negara kelahiran asalnya malah di Malaysia.

Namun Melly menganggap hal itu langsung tidak menjejaskan sikapnya yang suka melakukan eksperimen dalam berfesyen.

“Pernah satu ketika saya tampil mengenakan hijab tinggi dan saya dikutuk. Tetapi itu hanya masalah saya dengan masyarakat bukan hubungan saya dengan Allah.

"Tugas saya untuk menutup aurat yang selebihnya terserah kepada orang yang menilai.

“Dengan fizikal berisi, untuk tampil di depan khalayak saya tidak perlu bersusah-payah memakai mekap dan tampil seperti anak patung Barbie. Saya pakai apa saja,” katanya yang gemar memakai gaya ala Jepun.

Melly juga mengakui dia selesa mengambil sikap tidak peduli terhadap apa saja kecaman dan kutukan yang diberikan orang lain terhadapnya.

Apabila ditanya tidakkah dia mahu mengubah persepsi masyarakat dengan tampil bersama gaya diterima lebih ramai orang, ini jawapannya: “Saya tidak akan berhenti menjadi Melly. Saya bahagia menjadi diri sendiri.”

Lihat Komen
ADS