Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dewa 19 buat konsert di parlimen Indonesia
Diterbitkan:  May 27, 2016 6:16 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mempunyai cara tersendiri meraikan ulang tahun kelahiran Pancasila.

Memeriahkan hari itu mereka membuka ruang untuk Dewa 19 mengadakan konsert kerana band itu dinilai tidak sekadar membawa unsur komersial malah "berisi".

Timbalan Speaker DPR Fadli Zon berkata sebelum ini dia didatangi pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani serta seniman veteran Ratna Sarumpaet.

"Sebelum ini mereka menyatakan keinginan untuk mengadakan konsert di DPR.

"Disebabkan DRP ini boleh dianggap sebagai 'rumah rakyat' maka kami membuka dan menyambut mereka," katanya (gambar) kepada media semalam.

Pancasila adalah lima ideologi asas bagi Indonesia yang merangkumi rumusan kehidupan berbangsa serta bernegara bagi seluruh rakyat negara itu.

Ia diwujudkan secara rasmi pada 1 Jun 1945.

Lima prinsip asas itu ialah:

  • Ketuhanan Yang Maha Esa
  • Kemanusiaan yang adil dan beradab
  • Kesatuan Indonesia
  • Kerakyatan dipimpin oleh kebijaksanaan dalam perwakilan
  • Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia

Kerajaan Presiden Joko Widodo juga bercadang menjadikan Hari Pancasila pada 1 Jun sebagai cuti umum setiap tahun.

Kata Fadli mengadakan konsert di DPR adalah langkah yang betul untuk menanamkan kesedaran terhadap hidup bernegara kerana secara realtifnya, ia mudah difahami ramai.

"Konsert begitu lebih mudah dicerna. Semoga ia bukan inisiatif yang pertama dan terakhir," katanya.

Menurut Fadli, 44, muzik dibawa Dewa 19 bukan hanya berisi nilai komersial semata-mata sebaliknya turut mengandungi mesej penuh makna.

"Mereka tidak hanya membawa seni sebagai artis, sebaliknya seni yang sesungguhnya seni," katanya.

Fadli adalah seorang daripada pengasas Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra). Tokoh lain yang menubuhkan parti itu ialah bekas pegawai tinggi tentera dan calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Ahmad sendiri bukan asing dalam politik Indonesia. Ketika Prabowo bersaing merebut jawatan presiden dengan Joko Widodo, dia secara terang-terangan memihak kepada calon Gerindra itu.

Dia turut menyatakan minat untuk bertanding dalam pilihan raya Gabenor Jakarta.

Lihat Komen
ADS