Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pernah hilang sentuhan dalam berkarya, penyanyi Hazami mengakui dirinya teruk dihentam peminat ketika mengalami fasa merudum selama tiga setengah tahun.

Kata Hazami, semasa bercuti panjang daripada dunia seni, ketika itulah dia ‘berperang’ dengan diri sendiri dan tindakan itu memberi kesan terhadap identiti muziknya.

“Apabila peminat mendengar lagu saya, mereka mempersoalkan dan bertanya - ke mana perginya suara saya sebelum ini.

“Kemudian saya mendengar semula lagu-lagu itu dan ternyata sangat bersetuju dengan komen mereka.

“Tanpa berlengah, di depan komputer saya memadamkan begitu saja semua 18 lagu yang sudah siap dirakam," katanya tanpa menunjukkan sebarang tanda sesalan.

Hazami atau nama asalnya Norkamal Hazami Ahmad, 41, ditemui di majlis pelancaran single terbaru Cintai Dia di restoran Jibby East di Kuala Lumpur, kelmarin.

Turut hadir penyanyi iR Radzi yang melancarkan single berjudul Stay.

Hazami yang bergiat aktif pada 2001 memang terkenal dengan lagu seperti Mungkir Bahagia, Tekad dan Katakanlah, selain Sonata Musim Salju.

Kata Hazami, sikapnya mulai berubah sejak sembuh daripada menjalani rawatan pendarahan usus pada Ogos tahun lalu.

Menjelaskan keadaan itu, kata Hazami, dia sebenarnya seorang yang mudah melenting terhadpa reaksi peminat.

“Kalau dulu sebelum jatuh sakit, saya angkuh dan akan mengamuk dengan mereka yang berkata negatif, tetapi kini saya buang semua ego.

"Bagaimana nak teruskan karier sekiranya saya memilih jalan yang salah?” soalnya.

Disekat pihak tertentu

Sementara itu bercerita mengenai pengalamannya bergelar seniman anak kelahiran Ipoh, Perak itu mengakui ada rasa dipendamkannya selama tujuh tahun.

Dan akhirnya pada hari itu, Hazami meluahkan perasaan yang telah lama berbuku di hati.

“Selama tujuh tahun nama saya tidak menembusi beberapa stesen televisyen hanya kerana enggan mengikut kehendak sesetengah pihak.

"Pihak tertentu itu seolah-olah cuba mensabotaj peluang saya sama ada dari segi membuat persembahan, menjadi artis jemputan atau menghasilkan lagu runut bunyi.

“Sebab itulah saya menghilangkan diri selama tiga setengah tahun," akuinya.

Justeru, Hazami berkata, dia tidak bersetuju jika dianggap meninggi diri sebaliknya sekadar mempertahankan apa perkara yang dirasakannya betul.

“Saya yang dulu sering berkeras menyuarakan pendapat. Saya terima akibatnya dan kini saya tidak lagi mahu melawan," katanya.

Lihat Komen
ADS