Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nabila harap krisis Search selesai, konsert jalan terus

Walaupun nasib Konsert 35 tahun Search masih terawang-terawang, seperti peminat lain anak Amy sendiri berkata, dia mengimpikan acara itu masih boleh berlangsung seperti dijadualkan.

Kata Nabila Huda, dia juga berharap pertikaian yang berlaku antara kumpulan Search dengan pemain dram mereka, Yazid Ahmad, tidak berpanjangan.

Sebaliknya kata Nabila Huda, konflik berkenaan diharap menemui jalan penyelesaian.

"Sudah tentu sebagai anaknya, saya seperti juga peminat bapa,  begitu mengharapkan konsert itu dapat diteruskan," katanya ketika ditemui di sidang media teater Lela Manja di Istana Budaya di Kuala Lumpur petang tadi.

Search sepatutnya mengadakan konsert meraikan 35 tahun penglibatan mereka dalam dunia muzik di Stadium Merdeka pada 30 Ogos ini.

Bagaimanapun atas sebab tertentu konsert itu dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang - tanpa perubahan tarikh dan masa.

Namun rancangan itu kini menjadi tanda tanya apabila berlaku perselisihan faham antara Search dan Yazid, serta pembatalan memorandum persefahaman dengan syarikat penaja.

Beberapa status Amy di media sosial juga membayangkan hubungan kumpulan itu dengan Yazid kini berakhir.

Yazid merupakan pemain dram rasmi Search tetapi disebabkan keuzuran kesihatan persembahan kumpulan rock itu terpaksa menggunakan pemuzik undangan.

Pada konsert akhir Ogos nanti Yazid sepatutnya mendapat slot khas untuk bermain dram bersama Search.

Sebelum ini, Yazid membuat laporan polis mendakwa berlaku pecah amanah berhubung isu pembayaran antara anggota kumpulan rock tanah air itu.

Kata Nabila Huda, 32, segala polemik yang timbul di kalangan anggota Search sebelum ini diharap dapat diakhiri dengan kesudahan lebih baik.

"Untuk mencapai kata putus bagi meneruskan kelangsungan konsert saya berharap urusan mereka dapat diselesaikan dengan aman," katanya.

Bagaimanapun, pelakon Munafik itu enggan mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

"Saya tidak mahu memberi komen yang panjang mengenai hal ini.

"Saya hanya budak kecil yang tiada hak untuk memberi komen yang sepatutnya," katanya.

Lihat Komen
ADS