Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Terima kasih untuk semua ketawa masa lalu, Spencer
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 6:37 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Seniman Itali Bud Spencer yang banyak berlakon dalam filem AS, Bud Spencer, meninggal dunia hari ini. Dia berusia 86 tahun.

Dalam kenyataan dikeluarkan anaknya, Spencer - atau nama sebenarnya Carlo Pedersoli - "tidak mengalami sebarang sakit" ketika meninggal dunia.

Spencer banyak berlakon filem aksi komedi berpasangan dengan seorang lagi aktor Itali, Terence Hill, 77.

Watak Spencer mudah dikenali ramai kerana keadaan fizikalnya yang besar.

Sepanjang tempoh 1950-an hingga 1980-an Spencer berlakon lebih 20 filem.

Antara filem lakonan Spencer ialah Double Trouble, Go For It, Ace High dan They Call Me Trinity.

"Dengan rasa amat sedih kami memaklumkan Bud sedang menuju perjalanan seterusnya," kata keluarga Spencer melalui Twitter.

Menurut anaknya, Giuseppe Pedersoli, ahli keluarga terdekat Spencer berada di sisi ketika dia menghembus nafas terakhir.

 

 

Ketika muda Spencer adalah perenang yang berjaya.

Dilahirkan di Naples di selatan Itali pada 1929 Spencer berhijrah ke Rome kemudian dan terlibat aktif dalam sukan renang.

Pada 1950 di amenjadi warga Itali pertama menamatkan renangan 100 meter dalam tempoh kurang dari satu minit.

Dia kemudian meninggalkan bidang sukan dan memulakan kerjaya dalam dunia lakonan. Bersama Hill mereka menjayakan 16 filem bersama.

Perdana Menteri Itali Matteo Renzi dan aktor Hollywood Russell Crowe antara orang yang terawal menyatakan takziah atas kematian Spencer.

Semasa Festival Filem Cannes baru-baru ini Crowe mengucapkan terima kasih kepada media kerana menyamakan lakonannya bersama Ryan Gosling dalam filem The Nice Guys dengan aksi Spencer dan Hill.

Suatu ketika dulu Spencer berkata, dia menggunakan nama komersialnya itu sebagai menghargai jenama minuman keras kegemarannya, Budweiser, serta aktor paling diminatinya, Spencer Tracy.

Lihat Komen
ADS