Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Tiba-tiba ada sebuah kereta limusin 'menjalar' di depan rumah pelakon dan pelawak Sabri Yunus hari ini.

Peristiwa itu diketahui selepas Sabri memuat naik siri gambar dia bersama kenderaan mewah itu di akaun Facebooknya petang ini.

Turut kelihatan Sabri bersama limusin berkenaan di depan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun limusin berkenaan bukanlah ditempah pelakon yang terkenal melalui siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini Sabri berkata ia adalah sebahagian daripada program dinamakan sebagai Seniman dan akan ditayangkan di salah sebuah steten televisyen tempatan tidak lama lagi.

Katanya memang menjadi konsep program itu tokoh yang dipilih dijemput menaiki limusin dari depan rumah dan dibawa melawat ke beberapa tempat yang pernah ada kaitan dengan sejarah hidup mereka.

 

Ditanya perasaannya menaiki kenderaan mewah itu, Sabri menjawab sambil ketawa: "Rasa macam naik bas saja."

Mengiringi gambar itu ialah tulisan berangkap Sabri untuk membayangkan apa sebenarnya terjadi antara dia dan limusin berkenaan.

Maka tak semua mimpi
datang dari keinginan hati
Dan kebanyakan menakutkan

Dia datang depan pagar rumahku
Bagai dipukau puaka
Aku langkah ke perut mewahnya

Aku tiba di DBP
Tempat mula menganyam seni
Dan di sini aku bertambah kecil
Walau keluar dari sebesar mobil

AHHHH..rakaman setengah jam
program SENIMAN
Terlalu agungnya gelaran
Sedang aku sikecil dipinggiran
Belum layak bermain dilaman

Oooo...ada ke seniman kita
Begini mimpinya...

Pada ruangan komen di bawah status itu Sabri menyatakan ia digunakan sekadar untuk menjayakan rakaman satu program televisyen.

Sebelum bergelar pelakon dan pengarah Sabri pernah bekerja di DBP dan terlibat dalam kegiatan teater di agensi berkenaan.

Anak kelahiran Pengkalan Chepa di Kelantan itu juga pernah menghasilkan album lagu bersama allahyarham Ahmad Busu, pada 1995.

Sabri dan Ahmad adalah pelakon tetap siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Sebagai pelakon filem Sabri terlibat dalam banyak produksi termasuk Jogho pada 1999 dan Puteri Gunung Ledang (2004).

Di bidang teater pula antara pementasan yang disertainya ialah Menunggu Kata Dari Tuhan dan Matinya Seorang Pahlawan.

Sabri juga berbakat sebagai pengarah. Drama arahannya Sanggul Beracun pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin (ASK) 2011.

Drama yang turut menampilkan Erra Fazira dan Namron itu juga mengunggul turut memenangi kategori Pengarah Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.

Lihat Komen
ADS