Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Impian Encik Mimpi mahu kongsi cerita, motivasi

Dengan menggunakan pendekatan 'menjaja' diri sebagai penghibur, penyanyi Encik Mimpi berazam menggunakan pengalamannya memberi motivasi kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Penyanyi yang sering tampil ke mana-mana acara tanpa mendedahkan wajah sebenar itu berasakan tidak salah sekiranya dia mengambil peluang itu untuk mendekatkan dirinya dengan pelajar – biarpun bertopeng.

"Lebih mudah untuk menarik perhatian pelajar dalam memberi motivasi sekiranya mereka tahu saya penyanyi.

"Bayangkan kalau ustaz bagi ceramah pasal K-pop ia akan nampak lebih menarik sebab pengetahuan yang dia ada. Begitu juga sekiranya penceramah itu seorang penyanyi," katanya.

Menurut pemilik nama asal Mohd Azam Zamri itu dia bercadang mengadakan ceramah motivasi ke semua IPT dengan beberapa rakan artis lain turut serta.

Encik Mimpi, 27, berkata sebelum ini dia pernah melalui pengalaman melanjutkan pengajian - dalam jurusan kejuruteraan - di Jepun selama lima tahun.

“Dengan pengalaman itulah akan saya gunakan untuk memberi ceramah dan motivasi kepada pelajar.

“Apabila saya bercerita pernah belajar ke luar negara, ia adalah bonus kerana memberi semangat kepada mereka untuk cuba melakukan perkara sama demi cita-cita mereka.

“Bukan itu saja, saya mahu memberitahu generasi sekarang, walaupun bercita-cita menjadi artis mereka harus mempunyai pendidikan yang kukuh,” katanya.

Puas lagu dinyanyikan orang

Sementara itu, mengenai perkembangan kariernya, Encik Mimpi mengakui dia memanng menyepi selama setahun dari industri.

Dia yang terkenal menerusi lagu Rindukanlah sebagai runut bunyi siri Playboy Itu Suamiku sebenarnya sedang mengusahakan syarikat Encik Mimpi Production serta artis yang bernaung di bawah labelnya.

Ketika ini dia mempertaruhkan dua bakat cilik yang pandai bermain muzik instrumental yang disatukan melalui band Atri.

Katanya, biarpun artis di bawah labelnya belum lagi ‘meletup’ namun ia dianggap sebagai cabaran dan risiko yang perlu diambil semuanya demi minat yang mendalam pada muzik.

Bahkan katanya dia berasa puas kerana ada orang menyanyikan lagu yang dihasilkannya.

“Saya memilih untuk mempopularkan bakat anak kecil kerana belum lagi kita lihat ada artis cilik menguasai industri.

“Usia mereka baru lapan dan enam tahun, memang banyak usaha perlu dipergiatkan dari segi promosi, tetapi itu yang akan saya lakukan demi mengangkat nama mereka," katanya.

Selain Atri, Encik Mimpi berkata ada artis dari Indonesia dan mungkin Brunei bernaung di bawah syarikat itu.

"Saya melakukannya bukan kerana mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya atas dasar minat,” katanya.

Lihat Komen
ADS