Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Malang tukang kempen Trump
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 1:07 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Rezeki melayang - datang, dan pergi - untuk bekas pengurus kempen Donald Trump.

Selepas mendapat tawaran bernilai AS$1.2 juta (RM4.8 juta) daripada HarperCollins, syarikat penerbit buku itu kemudian membatalkan niat mereka membuka ruang kepada Corey Lewandowski menceritakan pengalamannya merangka strategi kempen untuk Trump.

Dua sumber yang dekat dengan rundingan berkenaan mengesahkan perkara itu semalam.

Sebelum ini Lewandowski - melalui orang tengah dikenali sebagai Robert Stryk - memulakan rundingan untuk menulis buku berjudul “Let Trump be Trump” dengan beberapa penerbit sejak Mac lalu.

Ketika itu Lewandowski masih mengetuai jentera kempen Trump dalam usaha hartawan berkenaan menduduki Rumah Putih.

Sumber industri memberitahu pihak Lewandowski menarik minat sekurang-kurangnya lima syarikat penerbitan.

Bagaimanapun kekangan mereka ialah syarat sulit ditetapkan Lewandowski dan bagaimana ia mungkin menjejaskan buku yang bakal ditulisnya.

Semalam Lewandowski berkata dia tidak ada sebarang perjanjian dengan mana-mana penerbit buku.

"Dan tiada sesiapa akan melakukannya bagi pihak saya. Tiada kontrak untuk saya dan saya tidak pernah melihatnya.

"Jika ada rundingan akan datang, saya akan melakukannya sendiri," katanya.

Namun sumber Republikan memberitahu Lewandowski terlibat secara peribadi berunding dengan HarperCollins, malah memberi jaminan kepada penerbit itu, dia bakal mendapat kebenaran pihak Trump untuk menghasilkan buku berkenaan.

Tarik diri lepas terdedah

Pada 21 Jun lalu Malaysiakini melaporkan Trump memecat Lewandowski secara mengejut selepas mendapat desakan pelbagai pihak.

Antara individu yang bertegas mahu Trump mengetepikan Lewandowski ialah anak perempuanya, Ivanka Trump dan suami ahli perniagaan itu, Jared Kushner.

Trump akan menjadi calon Republikan untuk merebut kerusi presiden AS daripada Parti Demokratik yang mencalonkan bekas wanita pertama negara itu, Hillary Clinton.

Pilihan raya presiden AS akan diadakan pada 8 November ini.

Trump menjadi perhatian ramai kerana mengambil pendekatan bermusuh dengan imigran, negara luar dan Islam. Ia turut menjengkelkan ramai tokoh terkemuka termasuk kalangan artis.

Sebelum ini Trump dikenali ramai sebagai personaliti utama dalam siri realiti televisyen The Apprentice.

Media melaporkan HarperCollins mengemukakan tawaran lumayan itu pada pertengahan Mei lalu.

Namun selepas ia didedahkan di Internet, kata sumber, Lewandowski terus menarik diri daripada terbabit secara aktif berunding dengan HarperCollins serta syarikat penerbitan lain.

Ketika itu Lewandowski juga menyatakan - di Twitter - dia tidak menyiapkan sebarang buku.

"Di sebalik laporan palsu itu saya tidak menulis buku. Saya tertakluk kepada perjanjian sulit dengan Trump,” katanya.

Namun sumber lain mendakwa Lewandowski memulakan rundingan itu semula minggu lalu selepas dia dipecat Trump ekoran perselisihan pendapat dengan pengerusi kempen, Paul Manafort.

Sementara itu sebuah syarikat penerbitan terkejut dengan tawaran lumayan diterima Lewandowski.

"Ia amat besar untuk seorang perunding politik yang dipecat sebelum kempen digerakkannya tamat, malah dia tidak pernah berjaya dalam mana-mana saingan sebelum ini," katanya.

HarperCollins pula didakwa bimbang pemecatan Lewandowski akan menurunkan nilai buku yang akan diterbitkan mereka kerana dia tidak lagi dapat menulis cerita dalaman Trump sehingga proses pilihan raya tamat.

Lihat Komen
ADS