Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Vroom Vroom ajak kenang jasa bapa sempena raya

Dikenali dengan siri iklan perayaan yang sentiasa menyentuh perasaan, Petronas sekali lagi menyambut Aidilfitri ini dengan klip video sarat mesej.

Melalui iklan Vroom Vroom, penonton diingatkan selain amalan bermaaf-maafan, terdapat aspek lain yang sering dilepas pandang, malah mungkin dilupakan - menghargai pengorbanan bapa.

“Pengorbanan yang dilakukan oleh seorang bapa amat tinggi. Justeru anak yang tahu menghargai tidak akan mudah untuk melupakan jasa yang diberikan seorang baoa.

“Jika setiap Aidilfitri kita fokus kepada menghulur tangan dan bermaafan, ia sepatutnya lebih daripada itu.

“Seorang anak tidak harus lupa bapa yang bangun malam menukar lampin mereka kerana itulah antara pengorbanan yang dilakukan,” kata pengarah Maurice Noone, 40, kepada Malaysiakini.

Maurice ditemui di sidang media pratonton Webfilm Raya Petronas 2016 di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Maurice, untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, idea asal Vroom Vroom yang diperoleh daripada sebuah agensi diolah semula dengan turut menyuntik karya itu dengan sedikit pengalaman peribadinya.

Klip video pendek sepanjang kira-kira 5.20 minit itu menceritakan kisah seorang bapa berusaha memujuk anaknya yang masih kecil untuk memahami kemelut yang melanda keluarga mereka.

Hargai tak kira tempat, waktu

Menjalani penggambaran selama empat hari, iklan itu menyaksikan si bapa cuba mengambil hati anak yang menangis tanpa henti dengan aksi berlumba kereta - menggunakan troli di sekitar kota raya - di tengah malam.

“Sekurang-kurangnya si bapa mencuba yang terbaik untuk anaknya walaupun pada ketika itu dirinya sendiri dilanda masalah hingga diusir keluar rumah,” katanya.

Penggambaran mengambil tempat di beberapa lokasi seperti Taman Seputih, Setapak, Lebuh Ampang dan Bukit Jelutong.

Maurice berharap, jasa kedua orang tua dapat dihargai pada setiap masa, bukan saja hanya semasa sambutan Aidilfitri.

“Setiap pengorbanan sepatutnya dihargai tanpa mengira tempat dan waktu.

“Seseorang anak harus memahami fungsi kedua ibu bapa walaupun tidak mengalami nasib sama,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Zahariah Abdul Rrahman berkata mesej utama yang ingin disampaikan melalui klip itu ialah, mereka melihat setiap rakyat Malaysia sebagai sumber inspirasi.

"Kami mahu menghasilkan kisah yang memberi kesan mendalam kepada setiap rakyat secara jujur dan boleh dikaitkan hampir dengan setiap orang," katanya.

Lihat Komen
ADS