Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Apalah gunanya bersuamikan seorang penyanyi jika si isteri sendiri tidak dapat mengecapi luahan perasaan kasih sayang menerusi lagu yang dihasilkan.

Sepatutnya orang yang paling banyak berkongsi hasil kreativiti suami berbakat mencipta lagu dan menyanyi ialah si isteri.

Justeru menerusi lagu berjudul 143 (Aku Cinta Kamu), Asfan Shah mengambil jalan ‘pintas’ mendedikasikan lagu istimewa itu buat isterinya Ain Sakinah.

“Lagu itu ditulis bagi menggambarkan perasaan ikhlas dan cinta saya untuk isteri kerana selama ini setia bersama.

“Tidak dinafikan, dengan menghasilkan lagu sebegini ia membawa satu erti yang penuh istimewa buat saya dan isteri,” katanya.

Apabila ditanya mengenai respon isteri, Asfan memberitahu, Ain terkejut sebaik mengetahui mengenai lagu pemberiannya itu.

Menceritakan detik itu, Asfan atau nama asalnya Norasfan Shah Shah Rudin, 32, berkata dia perlu mengajak isterinya pergi ke studio untuk mendengarkan lagu berkenaan.

“Mula-mula riak mukanya sedikit berubah, rupa-rupanya dia terharu dan sebak.

“Sebaik mendengarkan tajuk lagu 143, Ain terus melafazkan perkata cintanya kepada saya ketika itu,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia itu.

Kata Asfan, lagu itu dihadiahkan buat isteri tanpa ada niat tersembunyi.

Sebaliknya, kisah 143 lebih menceritakan pelbagai pengalaman pahit dan manis pasangan itu yang berkahwin sejak Ogos 2012.

Idea datang mencurah

Pasangan berkenaan pernah terpalit dengan kontroversi apabila Asfan diberitakan ditumbuk adik ipar sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Insiden berlaku pada tahun lalu.

Pergaduhan dikatakan berpunca apabila Asfan didakwa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami.

Pun begitu, semua kisah itu sudah ditolak ke tepi kerana bagi Asfan rumah tangganya kini bahagia.

Cuma, keadaannya yang sibuk beraktiviti seni membataskan dia meluangkan waktu untuk anak-anak dan isteri di rumah.

Kata Asfan, si isteri langsung tidak mengetahui mengenai lagu yang dihasilkan kerana ia dibuat dalam diam.

“Saya tulis lirik lagu itu dalam sehari kerana kisah kami sudah terpahat dalam memori, jadi idea yang datang mencurah-curah.

“Ain tidak tahu mengenai lagu itu dan saya berjaya menyorok lagu berkenaan hingga ia siap sepenuhnya,” kata Asfan.

Lihat Komen
ADS