Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Azwan Ali sokong Pemuda PAS
Diterbitkan:  Jul 22, 2016 7:42 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Selain menyokong tindakan Pemuda PAS membantah konsert Selena Gomez yang akan berlangsung Isnin ini, selebriti kontroversi Azwan Ali turut menyifatkan acara itu sebagai "konsert neraka".

Menyuarakan kelantangan seperti dirinya yang selalu, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA memuat naik status itu menerusi akaun Instagram miliknya.

“Hidup PAS, pemuda Selangor kerana lantang menentang #KonsertNeraka Selena Gomez.

“Diva AA menyokong penuh PAS,” tulisnya.

Beserta status berkenaan, Azwan turut memuat naik gambar bendera PAS.

Konsert Selena Gomez dijadual berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada minggu depan.

Tetapi belum pun bermula, konsert berkenaan mendapat bantahan daripada Pemuda PAS yang mendakwa aktiviti itu boleh mencemarkan kemuliaan Syawal.

Sementara itu, kerajaan Selangor pula menyatakan mereka tidak akan membatalkan konsert berkenaan sekiranya penganjur dan penyanyi mematuhi segala syarat ditetapkan.

Menerusi ruang yang sering dijadikan tempat luahan perasaan itu, Azwan turut memuat naik status kedua.

Bagaimanapun kali ini dia seolah-olah menyindir abagnya sendiri yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Hiburan melalai, gejala sosial, fitnah tersebar menjadi semakin serius tetapi usaha kerajaan Selangor besarkan Selena Gomez? Mufti Selangor? Kenapa senyap?” soalnya.

Kenyataan Azwan itu turut dimuat naik berserta hash tag #JUMAATterindah #masjidKLCC dan #abokpuntarakkkkk.

Sementara itu hari ini salah seorang wakil PAS dalam kerajaan Selangor Datuk Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan semua masjid di negeri itu mengadakan solat hajat bagi memohon konsert berkenaan dibatalkan.

Tiada arahan dikeluarkan

Yunus yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi berkata umat Islam tidak merestui konsert dan hiburan melampau yang hanya akan mengundang bala daripada Allah.

"Umat Islam tidak akan reda dan merestui segala bentuk hiburan yang melampau termasuklah konsert Selena Gomez yang akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

"Semua masjid di Negeri Selangor diarahkan mengadakan solat hajat selepas solat jumaat atau pada bila-bila masa yang sesuai sebelum konsert itu berlangsung untuk memohon kepada Allah SWT semoga konsert tersebut dibatalkan dan negeri Selangor yang kita cintai ini tidak ditimpa bala bencana.

"Juga diberikan hidayah oleh Allah SWT kepada pihak yang terlibat dalam penganjuran konsert ini," katanya.

Azmin dipetik berkata konsert itu akan diteruskan, walaupun mendapat bantahan dengan alasan pihak penganjur menepati semua syarat yang ditetapkan.

Beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata penampilan seksi artis itu bukan perkara penting dan tidak sepatutnya dijadikan isu.

"Seksi itu ciptaan tuhan dan subjektif, jangan terlalu teruja mengenainya, kebanyakan peminat lebih tertarik dengan lirik lagu yang disampaikan oleh penyanyi berkenaan," katanya.

Sementara itu petang tadi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan mereka tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana masjid atau surau di negeri itu mengadakan solat hajat berkaitan konsert Selena.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata sebarang keputusan membatalkan konsert tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ianya berada di luar bidang kuasa JAIS," katanya.

Lihat Komen
ADS