Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Jika diberi pilihan, pelakon baru Ruhainies lebih selesa memilih jodoh daripada kalangan lelaki muda.

Bagi Ruhainies, biarpun soal jodoh menjadi ketentuan Allah, namun tidak salah sekiranya dia menetapkan pendirian sendiri berhubung lelaki yang bakal menjadi suaminya.

Dan Ruhainies juga ada menetapkan syarat berhubung soal hatinya itu.

“Soal jodoh saya tidak memilih, sesiapa saja yang sudah ditentukan Tuhan dan sekiranya dia dapat membuka hati ini, akan saya terima dengan berlapang dada.

“Namun, biarlah usia lelaki itu tidak terlalu tua daripada saya,” katanya.

Ruhainies atau nama asalnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, berkata demikian ketika ditemui di majlis kejutan hari lahirnya ke-24 di Kuala Lumpur malam tadi.

Ketika ini namanya menjadi sebutan dan gosip di kalangan peminat hiburan selepas rakaman klip video dan gambarnya bersama suami orang tersebar di media sosial.

Aksi itu dipercayai berlaku kelmarin.

Dalam rakaman itu, Adnan - suami kepada penyanyi Adira Suhaimi - dilihat merangkul pinggang selain berpegang tangan dengan Ruhainies.

Ketika kejadian, Ruhainies dilihat memakai pakaian berwarna merah jambu air manakala Adnan atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Red pula memakai baju merah belang biru.

Mengenai kejadian itu, Ruhainies menafikan sekiranya dia dan Adnan mempunyai sebarang hubungan selain daripada berkawan demi soal kerja.

Tidak pula marah-marah

Kata pelakon Menantu Ting Tong itu, pertemuan sebanyak tiga kali tidak memungkinkan dia ‘terjebak’ lalu bercinta dengan Adnan secara tiba-tiba.

“Pertama kali dulu kami berjumpa ketika berlakon dalam sebuah iklan komersial diusahakan syarikat Adnan, kedua ketika di majlis berbuka puasa, tetapi itu ada isterinya yang pertama, dan ketiga di kompleks beli-belah terbabit.

“Kejadian memeluk pinggang itu pula mungkin hanya tindakan spontan kerana mahu memastikan saya tidak jatuh ketika menaiki eskelator, malah saya tidak menyedari bila ia berlaku.

“Lagipula, kami berdua berjalan di lokasi umum, tidak mungkin saya berbuat demikian dengan sengaja,” katanya.

Ruhainies juga mendakwa, walaupun tidak bermusuh dia tidak mempunyai sebarang perasaan pada Adnan.

"Lebih penting saya tak rela menjadi isteri ketiga, dan ibu saya pula tidak memberikan restu," katanya.

Apabila ditanya mengenai Adira pula, Ruhainies memberitahu bekas pelajar Akademi Fantasia itu mengambil sikap profesional membendung spekulasi berkenaan.

“Sebaik kejadian tersebar, dia terus bertanyakan kepada saya mengenai hal itu menerusi panggilan telefon.

“Katanya dia menyerahkan kepada saya untuk menjelaskan kepada umum, malah tidak pula dia marah-marah,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini Adira masih belum sedia memberi komen selepas tersebarnya rakaman video serta gambar mesra suami pegang tangan dan rangkul pinggang artis lain di media sosial.

“Maaf, saya masih belum bersedia untuk menjawab apa-apa soalan daripada media buat masa ini.

“Saya berharap media bersabar dan menghormati keputusan ini,” katanya.

Dan dengan jawapan yang ringkas mengenai keadaannya ketika ini, Adira hanya tergelak kecil sambil memberitahu: “Saya OK.”

Adira dan Adnan bernikah di Songkhla, Thailand pada tahun lalu sebagai isteri kedua walaupun usia perkenalan sesingkat tiga minggu.

Isteri pertama Adnan yang hanya dikenali sebagai Datin Red sebelum itu ‘mengisytiharkan’ berkongsi suami dengan seorang penyanyi menerusi status di media sosial.

Lihat Komen
ADS