Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Nampaknya bukan saja pencinta dan aktivis seni yang kecewa dengan runtuhnya Puncak Purnama.

Hari ini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz turut berkongsi rasa itu apabila berkata ia "amat mengecewakan" dan kejadian sedemikian diharap tidak berulang lagi.

Nazri juga berharap mana-mana pihak yang ingin merobohkan sebarang artifak berkaitan seni atau warisan dapat merujuk kepada kementeriannya terlebih dulu.

Mengakui kecewa atas perobohan Puncak Purnama oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Nazri berkata perlu ada penyelarasan dibuat antara pihak yang terlibat dalam hal sedemikian.

"Apa yang lebih penting ialah pemilik tugu-tugu (atau arca) yang bertanggjawab, dia kena maklumkan pada kita (kementerian) kalau sesuatu nak dilakukan.

"Benda itu (perobohan Puncak Purnama) pun kita tak tahu," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Puncak Purnama adalah sebuah arca hasil karya Seniman Negara Allahyarham Syed Ahmad Jamal Syed Jamil Sahil yang dibina pada 1980-an melalui pembiayaan Bank UMBC.

Ia kemudian diserahkan kepada DBKL pada 1986. Di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan itu arca berkenaan pernah diubah suai tanpa mendapat kebenaran Syed Ahmad.

Beliau kemudian membawa perkara itu ke mahkamah dan memenangi kes berkenaan apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur diarah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - pada 21 Mei 2010 - membayar ganti rugi RM750,000 kepada Syed Ahmad Jamal kerana melakukan pengubahsuaian terhadap arca tanpa kebenarannya.

Bukan masalah hodoh

Hakim Datuk Azhar Mohamed juga memerintahkan Datuk Bandar membayar kos undang-undang dan faedah lapan peratus setahun dari tarikh saman itu difailkan pada 2003 sehingga selesai pembayaran.

Beliau juga membenarkan permohonan Syed Ahmad Jamal untuk perintah deklarasi yang beliau boleh mencipta arcanya Puncak Purnama/Lunar Peaks di mana-mana tempat lain.

Syed Ahmad Jamal memfailkan saman terhadap Datuk Bandar kerana melanggar haknya sebagai pencipta arca tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata, mereka sudah dan menyiapkan arca yang diperbuat daripada seramik kaca lambang Gunung Ledang yang juga menyamai logo United Malayan Banking Corporation (UMBC) pada 1985.

Arca di tengah Kuala Lumpur itu kemudian ranap pada 1 Julai lalu apabila DBKL memberi kebenaran untuk melakukan projek menaik taraf landskap di kawasan berkenaan.

Pada 16 Ogos kira-kira 200 seniman, pencinta dan aktivis seni berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Jalan Sultan Ismail untuk mengadukan perkara itu.

Antara mereka ialah bekas pengerusi Bank UMBC Zain Azahari Zainal Abidin, pengarah filem U-Wei Saari dan Sasterawan Negara Datuk Baha Zain.

Seorang lagi Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh menganggap langkah DBKL merobohkan Puncak Purnama itu sebagai "buta seni dan memalukan."

Nazri berkata tidak timbul isu arca itu hodoh seperti dianggap sesetengah pihak.

"Itu bukan penting. Yang penting ia diwujudkan dengan ada makna dan tujuan.

"Mungkin pada pandangan kita (arca itu) hodoh tapi itu bukan masalahnya. Kita kena jaga warisan itu.

"Itu amat dukacita. Ia (Puncak Purnama) ada makna, ada nilai seni. Jadi sangat mengecewakan (perobohan arca itu). Kita harap supaya mesti ada koordinasi selepas ini," katanya.

Sambil menegaskan setiap perkara berkaitan seni dan warisan perlu dirujuk kepada pihak kementerian, Nazri turut memetik perumpamaan untuk menjelaskan robohnya Puncak Purnama.

"Patah tak tumbuh, hilang tak berganti," katanya.

DBKL pada 17 Ogos lalu memberitahu Malaysiakini mereka akan mengadakan mesyuarat dengan aktivis seni mengenai isu perobohan tugu Puncak Purnama sebagai tindakan susulan demonstrasi di ibu kota sehari sebelumnya.

Menurut sumber mesyuarat itu akan dikendalikan Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL, Rolan Abd Rahman dengan pihak-pihak yang terlibat, terutama wakil delegasi yang bertemu dengan Suhakam pada Selasa minggu lalu.

Lihat Komen
ADS