Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Kekecewaan jelas terpancar di wajah penyanyi tinggi lampai, Yuna, apabila ‘penghakiman’ terhadap dirinya dibuat bangsa sendiri hingga hampir menutup peluangnya untuk mencipta nama di persada antarabangsa.

Sambil beremosi dan menahan sebak Yuna meluahkan, untuk dirinya berada pada kedudukan sekarang tidak mudah dan bukan boleh dicapai dalam masa semalaman.

Penghibur yang giat mempromosi muziknya di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah itu turut berasa terkilan apabila segelintir rakyat Malaysia tidak mengerti kepayahan yang dialami sebaliknya hanya tahu mencerminkan sikap negatif.

“Di luar sana saya bertungkus-lumus bekerja seorang diri tanpa mengarapkan dan menyusahkan ibu bapa.

“Bayangkan kecekalan bermula dari hanya menggunakan mikrofon RM10 untuk menyanyi Dan Sebenarnya hingga pencapaian dimiliki kini, tetapi anda pula datang untuk memusnahkan impian saya begitu saja,” katanya.

Kenyataan itu diberikan Yuna sebagai mengulas isu klip video parodi lagu Crush yang pernah disiarkan pihak Astro menerusi rancangan MeleTOP awal bulan ini.

Yuna atau nama asalnya Yunalis Mat Zara’ai, 29, ditemui pada majlis pelancaran koleksi Hatta Yuna Nouva Flora di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Teruk kena kecam

Video dimuat naik rancangan MeleTOP itu menampilkan pelakon komedi Jihan Muse dan Syuk Joras (SJM) menyanyikan lagu Crush – lagu duet yang dinyanyikan Yuna dan penyanyi AS, Usher.

Dalam video berkenaan, Syuk menggelapkan wajahnya bagi menyamai usher serta lelaki kulit hitam– satu tindakan yang dianggap penghinaan ke atas bangsa berkenaan, kata Yuna. 

“Ia langsung tidak kelakar malah tindakan kurang peka dibuat oleh segelintir rakyat Malaysia jelas menunjukkan mereka seolah mempersenda isu perkauman.

“Saya anak Malaysia, mana hendak diletakkan muka di AS sekiranya pihak pengurusan dan rakan artis yang kebanyakannya berkulit hitam mengetahui perkara ini menjadi bahan gurauan di sini?," kata Yuna lagi.

Selepas Yuna menggesa video parodi yang tidak sensitif itu dipadam, pihak penerbitan MeleTOP pada 5 Ogos lalu akhirnya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun rasmi Twitter mereka.

Terdahulu, dalam video berlainan, Yuna juga teruk dikecam pengguna media sosial apabila aksi memeluk Usher di atas pentas selepas tamat persembahan menjadi viral.

Bagaimanapun, Yuna hanya ‘bersetuju’ memeluk Usher selepas menunduk hormat bagi menolak permintaan lelaki itu secara baik yang terlebih dahulu membuka tangan untuk berpelukan.

Namun, persetujuan Yuna itu mendapat tentangan hebat oleh netizen hingga ada sebilangan sanggup menghamburkan perkataan hinaan kepadanya seperti ‘perempuan sampah.’

Bagi Yuna, biarlah hanya dia sahaja yang tahu cabaran yang sedang dihadapinya dan berpendapat tidak menjadi satu kesalahan sekiranya beliau menggunakan platform seperti Facebook dan Instagram untuk meluah perasaan.

Katanya, dia berhak melepaskan segala yang terbuku di hati dengan niat untuk mempertahankan diri.

Sehubungan itu, tiada permintaan lain dari Yuna selain meminta rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuk dirinya meskipun tidak memahami situasi sebenar ketika kejadian berlaku.

“Sukar untuk saya menjelaskan perkara itu dan seandainya ia berulang kembali di masa depan, tetapi yang pasti saya cuba menghormati semua orang.

“Adalah kurang sopan sekiranya saya menolak begitu saja (pelukan) kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada kebiasaan masyarakat di sana dan tindakan itu pula bukan berunsur seksual.

“Jika tidak bersetuju dengan cara saya, doakan saya menjadi yang lebih baik kerana saya tidak pernah berbuat jahat kepada anda, mengapa anda ingin berbuat perkara itu kepada saya?” soalnya mengakhiri perbualan.

Lihat Komen
ADS