Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shukri Yahaya dapat puteri sulung
Diterbitkan:  Aug 24, 2016 6:20 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Pelakon Shukri Yahaya menyambut kelahiran bayi perempuan pada hari ini tepat jam 12.22 tengah hari tadi.

Pelakon Suami Tanpa Cinta itu mengumumkan khabar gembira tersebut menerusi status yang dimuat naik di Instagram miliknya.

“Syukur Alhamdulillah, hari ini Rabu bertarikh 24 Ogos 2016 tepat jam 12.22pm isteri saya @tyaadnan selamat melahirkan cahaya mata sulung kami (perempuan),” tulisnya.

Menerusi status sama, Shukri, 29, turut mengucapkan penghargaan kepada peminat yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

“Terima kasih pada semua yang mendoakan.. Allahuakhbar,” katanya sebagai membalas ucapan tahniah dari peminat.

Dalam imej yang dihitam putihkan warnanya itu, Shukri dilihat mendukung anak sulungnya itu sambil memaparkan ‘seribu’ wajah kegembiraan.

Menerusi semakan Malaysiakini sebentar tadi, status itu mendapat lebih 30,000 like dan 1,547 komen.

Shukri dan Tya atau Siti Nurfatihah Ahmad Adnan, 23, mendirikan rumah tangga pada 20 November 2015 di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan dan Perceraian Putrajaya, Ustaz Muhd Redza Ahmad, Shukri turut berwalikan bapa pengantin perempuan Ahmad Adnan Ishak.

Sebelum ini Malaysiakini menyiarkan kenyataan Shukri yang tidak kisah mengenai jantina anak meskipun sudah dapat menghidu terlebih dahulu isi kandungan isterinya.

“Kalau ikutkan hati memang lebih menyukai anak lelaki tetapi setiap pemberian Allah itu adalah rezeki dan sebenarnya saya tidak kisah jantina apa pun,” katanya.

Lihat Komen
ADS