Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas hampir dua bulan Puncak Purnama ranap, hari ini Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan arca baru berupa karektor kartun ciptaan Datuk Lat.

Didirikan di 11 lokasi berbeza di sepanjang Jalan Melaka, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan, beliah berkata arca itu tidak akan mengalami nasib sama seperti Puncak Purnama.

"Kita akan jaga arca tersebut dan ia diserahkan bawah penjagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," kata Tengku Adnan kepada media hari ini.

Sebelas arca yang dirasmikan hari ini adalah watak kartun ilham pelukis terkenal, Lat, atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid.

Arca Puncak Purnama ilham Seniman Negara Allahyarham Syed Ahmad Jamal Syed Jamil Sahil di tengah Kuala Lumpur dirobohkan pada 1 Julai lalu untuk membolehkan projek pengindahan landskap dijalankan.

Bagaimanapun tindakan itu menimbulkan kemarahan serta kekecewaan pelbagai pihak.

Selain seniman dan pencinta seni Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz turut berasa "amat kecewa" apabila ia dirobohkan.

Tengku Adnan sebelum ini menyatakan arca karya Syed Ahmad di Jalan Atap itu terpaksa dirobohkan kerana sudah usang dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Puncak Purnama dibina Syed Ahmad menggunakan kaca seramik pada 1986 dengan pembiayaan daripada United Malayan Banking Corp Bhd (UMBC).

Puncak Purnama menggabungkan kesan cahaya, udara, tanah dan air.

Projek arca kartun Lat itu adalah sebahagian daripada inisiatif DBKL untuk mengindah dan mewujudkan suasana ceria bandar raya Kuala Lumpur.

Ia juga sebahagian daripada usaha melengkapkan penyediaan elemen reka bentuk bandar bagi Laluan Jejak Warisan 2 yang bermula dari Jalan Melaka, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan.

Menurut risalah majlis itu, inisiatif berkenaan menunjukkan kesungguhan dan komitmen DBKL menjayakan usaha kerajaan merealisasikan projek di bahawa peruntukan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang bagi menjadikan ia bandar raya crita, unggul dan bertaraf dunia.

Lukisan Lat pula meninggalkan kesan yang besar di kalangan rakyat Malaysia dan luar negara kerana ia menggambarkan kisah lucu dalam kehidupan seharian rakyat di negara ini.

Lihat Komen
ADS