Paling Popular
Terkini

Sekali lagi pentas Istana Budaya menjadi tempat penyanyi Datuk Jamal Abdillah menghiburkan peminat seni suara. Dan kali ini ia lebih istimewa apabila dia bergabung pula dengan Ameng Spring dan Zamani Slam dalam Konsert 3 Suara.

Konsert itu dijadual mewarnai Istana Budaya mulai 22 hingga 25 September ini.

Lebih istimewa pada satu daripada malam berkenaan, persembahan itu dilangsungkan sebagai penghargaan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

Jamal yang juga Pengarah Urusan Binjamal Events Sdn Bhd berkata mereka berasa berbesar hati menghadiahkan konsert berkenaan kepada Sultan Ahmad Shah.

Katanya, persembahan berkenaan adalah sebagai tanda kasih dan sayangnya kepada sultan berkenaan.

"Ini bukanlah kali pertama saya mengadakan konsert untuk baginda tuanku.

"Saya sering mengadakan persembahan sebelum ini untuk baginda, seperti meraikan hari jadi beliau," katanya yang menerima darjah kebesaran Datuk daripada Sultan Ahmad Shah.

Jamal ditemui pada sidang media mengumumkan konsert berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Sultan Ahmad Shah akan berangkat menyaksikan persembahan Konsert 3 Suara itu pada 23 September.

Kata Jamal, gabungan tiga penyanyi dalam Konsert 3 Suara itu bakal mengimbau kemeriahan muzik tanahair pada dekad 1990-an.

"Meskipun pernah mengadakan beberapa konsert di Istana Budaya sebelum ini namun saya tidak pernah merealisasikan persembahan bersama Ameng dan Zamani," katanya.

Turut serta dalam konsert itu nanti adalah adik Jamal, Jamilul Hayat yang popular pada 1980-an menerusi lagu Mawar Putih Tanda Perpisahan dan Gelora Jiwa.

Sekurang-kurang 30 lagu akan dipersembahkan pada malam berkenaan dengan tiket jualan bermula dari harga RM108 hingga RM458.

Pengarah muzik untuk Konsert 3 Suara ialah Raja Mohd Sham Raja Saari diiringi lebih 20 anggota Orksetra Simfoni Kebangsaan Istana Budaya.

Lihat Komen
ADS