Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Seakan sudah menjadi kelaziman apabila sesuatu kesilapan dilakukan, umum lebih gemar menjatuhkan hukuman daripada bersikap mendidik.

Bagi pelakon utama filem Pekak, Sharifah Amani, kalangan masyarakat 'bijak pandai' seperti itu harus dijauhi kerana sewajarnya inisiatif menasihati perlu digunakan dalam proses membetulkan sesuatu kesalahan.

Berpaksikan Pekak, Amani cuba merungkai cara mengatasi permasalahan ditonjolkan - yang mengetengahkan isu jenayah pengedaran dadah berserta kesan kepada golongan yang terjebak.

“Jangan duduk dalam keadaan selesa dan membutakan mata dengan persekitaran yang didapati tidak sihat kerana isu berkaitan dadah perlu dibendung.

“Apabila sesuatu perkara buruk menimpa, segelintir pihak lebih gemar mengambil pendekatan menghukum berbanding memberi tunjuk ajar ke arah kebaikan,” katanya yang ditemui pada malam gala Pekak di Damansara, Petaling Jaya pada Selasa lalu.

Sharifah dilahirkan dengan nama penuh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya memegang peranan sebagai Dara - pelajar sekolah yang dibesarkan seorang bapa yang kuat marah. Watak bapa Dara dipegang Zaidi Omar.

Dara kemudian dipertemukan dengan Uda (lakonan Zahiril Adzim) - pemuda cacat pendengaran yang menjalankan aktiviti mengedar dadah.

Hasil pertemuan itu Dara beranggapan Uda adalah jawapan kepada konflik yang sering dihadapinya di rumah.

Guna kaedah komunikasi betul

Walaupun tampil baik, Dara tidak menyangka perkenalannya dengan Uda sebaliknya membawa dia kepada masalah lebih besar.

Pekak yang menjadi naskhah pertama arahan Mohd Khairul Azri terpilih untuk menjadi pembuka tirai bagi Festival Filem Motivasi Antarabangsa Bridge of Arts di Rostov-on-Don, Russia pada 24 Ogos lalu.

Ia juga bersaing dengan 10 filem lain dari serata dunia di festival berkenaan.

Selain Russia, Pekak turut menjadi satu antara lima filem Malaysia ditayangkan di Festival Filem Cannes (bagi kategori Marche du Film) pada Mei lalu di bawah program anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia dan Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia.

Turut menjayakan Pekak ialah Sharifah Sakinah, Amerul Affendi dan Iedil Putra.

Menurut Amani, Pekak bukan sebarangan cerita tetapi sebuah karya sarat mesej yang menjadi pengantara untuk membuka mata masyarakat.

Sehubungan itu, Amani menyeru masyarakat untuk mengubah mentaliti dan bukan menjadi ‘penakut’ untuk mengajar anak muda.

Katanya, masyarakat juga tidak perlu berlengah lebih lama untuk membincangkan aktiviti pengedaran atau pengambilan bahan itu yang dilakukan secara berleluasa.

“Tidak perlu khuatir sekiranya membetulkan kesalahan akan membuatkan generasi muda memberontak.

“Gunakan komunikasi yang betul, kita boleh menasihati mereka sebagai kawan, bukannya menggunakan kekerasan atau mengatakan ini tidak boleh, itu tidak boleh.

“Atau, gunakan sesi dialog bagi membincangkan punca dan menangani masalah dadah,” katanya.

Lihat Komen
ADS