Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Filem ini berkemungkinan satu-satunya filem tetap seronok - dan tidak jemu - ditonton walau bagaimana pun diarahkan semula.

Amat jarang sekali ia rosak atau gagal pada tangan mana-mana pengarah.

Pada 2016 sekali lagi kita menjadi saksi filem ini ditayangkan semula, kali ini diolah oleh Jon Favreau yang pernah kita kenali melalui filem Ironman 1, 2 dan 3 sebagai produser dan pemegang watak Hogan si pengawal peribadi Tony Stark.

The Jungle Book mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Mowgli yang dibela sekumpulan serigala.

Bersama seekor harimau kumbang bernama Bagheera, Mowgli diajar pelbagai peraturan yang menyesakkan dada semata-mata mahu terus selamat di dalam hutan.

Namun kehadiran Mogwli tidak disenangi oleh Shere Khan, si harimau belang yang rakus. Mogwli kemudian terpaksa keluar dari hutan yang telah menjadi kediamannya selama ini mencari perkampungan manusia bagi melarikan diri daripada Shere Khan yang memburunya.

Konflik dan perjalanan cerita bermula apabila Shere Khan membuat sumpah mahu membunuh Mogwli.

Dalam perjalanan mencari dunia baru Mogwli secara tidak dirancang bertemu Baloo - seekor beruang periang dan tidak mengendahkan pandangan orang lain.

Pertemuan terjadi setelah Baloo menyelamatkan Mogwli daripada lilitan maut Kaa, seekor ular sawa betina yang hipnotik.

Satu kejutan di dalam filem ini ialah ada babak musikal yang sangat menarik. Lakonan Neel Sethi yang memegang watak Mogwli juga amat baik dan menampakkan perkembangan emosi selari dalam keseluruhan cerita.

Scarlett si ular betina

Kesan CGI dan sinematografi sepanjang filem ini juga kemas dan mengasyikkan.

Beberapa trivia tentang filem ini ialah, kerana watak Baloo agak besar dan berbulu lebat ia mengambil masa lima jam untuk proses rendering; watak Kaa kali ini adalah wanita, disuarakan oleh Scarlett Johansson dan disengajakan begitu kerana Favreau berpendapat sudah terlalu ramai watak lelaki.

Dan trivia terakhir adalah pada tahun 1967 watak King Louie adalah seekor orang utan, tetapi The Jungle Book 2016, watak King Louie ditukar kepada gigantopithecus si nenek moyang orang utan.

Menurut Favreau, ia dilakukan bagi menjadikan filem ini lebih menarik.

The Jungle Book 2016 adalah filem yang amat sesuai ditonton seisi keluarga. Banyak pengajaran boleh didapati dalam filem ini - bergantung kepada sudut mana kita melihatnya.

Terlalu banyak metafora yang boleh juga diterjemah mengikut pandangan masing-masing.

Sewaktu saya menonton filem ini, Malaysia baru sahaja bergegar dengan hentakan angkuh seorang menteri meruntuhkan satu hasil seni kebanggaan kita, Puncak Purnama.

Ia begitu terkesan sehingga waktu saya menontonnya pun, pelbagai bayang-bayang dalam dunia sastera negara bersatu dengan metafora dalam filem ini.

The Jungle Book 2016 mendedahkan di mana-mana tempat di dalam dunia pun akan terdapat - jika tidak beberapa - seorang pembuli yang mahu merampas semua yang ada, selain mengganggu keamanan yang disepakati bersama.

Kematian Raksha, ketua serigala yang memayungi Mogwli, menjadikan seluruh kumpulan haiwan itu lumpuh dan tidak mampu bertindak. Itulah kita.

Bagheera adalah sekumpulan penulis di luar arena yang mahu melakukan sesuatu tetapi dalam keadaan yang amat berhati-hati.

Mogwli dan sekumpulan gajah dalam filem ini adalah sastera kita yang sedang diburu dan mahu dihapuskan tanpa sebab.

Dimanakah kita berdiri? Adakah kita seperti sekumpulan monyet yang mengimpikan sesuatu tidak munasabah dan membinasakan? Atau kita seperti makhluk hutan yang lain, melarikan diri dari marak api tanpa melakukan apa-apa? Atau kita seperti sekumpulan serigala, Bagheraa dan Baloo yang menunggu saat akhir untuk bertindak?

Filem ini memberitahu jika kita yakin dengan prinsip maka pertahankanlah sehingga detik terakhir.

Di mana-mana pun kita berada tiada istilah bangsa, pangkat, anugerah dan nama di dalam sastera. Ia adalah nadi yang kita perlu denyutnya. Jika sastera itu terbit di mana-mana pun, maka di situlah rumahnya.

Di situlah hatinya, disitulah nadinya dan kita wajib pertahankan.

Sastera seperti Mogwli, melawan bukan sahaja dengan kekuatan sendiri, tetapi dengan kebijaksanaan, kesatuan dan keazaman. Tanpa seni dan sastera, jadilah kita seperti Shere Khan, angkuh dan kejam.


MUHD IQBAL seorang mekanik pesawat udara penumpang yang meminati filem dan sastera.

Lihat Komen
ADS