Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Animasi suka duka rumah panjang Jinjang Utara

Kenangan bersama seorang wanita Cina yang telah berusia yang dipanggilnya 'aunty' sememangnya sukar dilupakan S .Jaysheila, 43, sepanjang menetap di Rumah Panjang Jinjang Utara, Kepong, dekat Petaling Jaya.

Hubungannya dengan wanita itu sangat rapat kerana 'aunty' mahir berbahasa Tamil sehinggakan Jaysheila kerap menemaninya ke pasar dan bersarapan di kedai kopi bersama hampir setiap pagi berikutan 'aunty' hanya tinggal berseorangan di situ.

Namun pada suatu ketika, Jaysheila tidak melihat kelibat 'aunty' tersebut selama beberapa bulan sebelum dimaklumkan jiran bahawa wanita itu dimasukkan ke hospital kerana terjatuh dari bas dalam perjalanan ke pekan.

Sejak daripada itu, Jaysheila berulang-alik dari rumah ke hospital hampir setiap hari untuk menjaga 'aunty' yang berusia 60-an yang patah kaki akibat kemalangan tersebut.

Hubungan rapat yang terjalin sejak sekian lama menyebabkan Jaysheila telah menganggap 'aunty' itu seperti ibunya sendiri walaupun berbeza bangsa, sehinggalah wanita tersebut meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Kisah Jaysheila itu mendapat perhatian daripada pasukan produksi Akademi Seni Dasein untuk dijadikan sebahagian daripada filem animasi pendek 'Moving Voices: stories from the block' yang memaparkan cerita sebenar penduduk Rumah Panjang Jinjang Utara.

Filem animasi pendek arahan Anna Har yang berdurasi 20 minit itu ditayangkan kepada umum sewaktu 'Freedom Filmfest 2016' di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Anna, filem animasi pendek itu dihasilkan buat julung kalinya bagi memaparkan kisah komuniti dalam bentuk kreatif dan mudah difahami semua lapisan masyarakat.

"Produksi filem yang melibatkan kira-kira 30 pelajar diploma ilustrasi dan animasi dari (Akademi Seni) Dasein itu menggabungkan hasil temu ramah dengan penduduk Rumah Panjang Jinjang Utara dan kemudiannya diolah dalam bentuk kartun dan ilustrasi.

"Idea tercetus daripada 'Storycorps' dari Amerika Syarikat yang turut menggunakan kaedah sama apabila mereka merakamkan suara latar penduduk dan diolah dalam bentuk pergerakan kartun dan animasi," katanya kepada Bernama.

Katanya siri itu mengandungi enam filem animasi pendek yang memaparkan cerita sebenar daripada penduduk, berkisarkan masalah sosial dan kehidupan seharian seperti gangsterisme, penagihan dadah, pemandu teksi dan ibu tunggal.

"Sebelum terlibat dalam projek ini, mungkin ramai yang tidak mengetahui kewujudan Rumah Panjang Jinjang Utara kerana ia seolah-olah dipinggirkan kerana terletak di pinggir kota.

"Namun, selepas terhasilnya filem animasi pendek itu, kami berjaya mencungkil kisah-kisah di sebalik perumahan setinggan tersebut yang mungkin selama ini tidak diketahui umum ataupun tidak pernah dilaporkan media.

"Tidak kira kaum ataupun latar belakang agama, semangat kejiranan mereka sangat utuh apabila susah senang mereka harungi bersama," katanya yang kagum dengan semangat kejiranan yang kukuh yang dijalinkan penduduk di situ walaupun hidup dalam suasana daif.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Animasi Akademi Seni Dasein Jason Loh berkata penglibatan dalam pembikinan filem animasi pendek itu merupakan satu platform yang sesuai buat pelajar-pelajarnya kerana dapat mendedahkan kepada mereka mengenai kehidupan komuniti.

Beliau yang turut menyertai produksi itu menyifatkan interaksinya bersama penduduk rumah panjang tersebut banyak mengajarnya tentang kesabaran dan menghargai kehidupan.

"Kami mengambil masa selama dua hingga tiga bulan untuk menyiapkan filem animasi itu. Sepanjang tempoh itu, pelbagai kisah yang diceritakan penduduk membuatkan kami terharu kerana mereka masih boleh hidup secara harmoni selama 26 tahun walaupun ditimpa pelbagai cabaran," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS